Ipoh, Perak: “Ulama dan umara adalah pewaris Nabi, ulama mewarisi ilmu dan umara mewarisi kepimpinan,” demikian titah Sultan Perak Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Casuarina@Meru baru-baru ini.
Menurut baginda lagi, sumber ilmu dan sumber kepimpinan itu tidak boleh dipisahkan maka begitu juga dengan hubungan antara ulama dan umara. “Ulama – sumber ilmu, umara – sumber kepimpinan. Ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian ulama dengan umara.”
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Malaysiakini, baginda bertitah bahawa ulama adalah pemimpin tidak rasmi yang berakar di dalam masyarakat dan menjadi teladan kerana keilmuan yang dimiliki, tanpa ulama keadaan masyarakat boleh menjadi kacau-bilau.
“Umara adalah satu keperluan dalam masyarakat kerana tanpa umara, masyarakat boleh menjadi kacau-bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan. Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).”
Baginda turut menegaskan bahawa rakyat, ulama dan umara berkait rapat, kerana rakyat rosak kerana pemerintah, pemerintah rosak akibat ulama, manakala ulama pula rosak kerana mengejar dunia.
“Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar.”
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pula penuh beremosi apabila menitipkan pesanan buat Sultan Perak pada muzakarah tersebut dengan membandingkan hubungan antara beliau dan Sultan Nazrin dengan Imam Abu Yusuf dan Khalifah Harun al-Rasyid.
“Dikala usia patik sudah tinggal sisa-sisanya, patik mungkin tidak akan mampu menjadi seperti Imam Abu Yusuf, namun pada usia pemerintahan tuanku yang masih awal, patik doakan tuanku dapat menjadi seperti Harun Al-Rasyid.”
Menurut laporan oleh portal Sinar Harian, Mufti Perak juga menitipkan bahawa Sultan perlu memilih akhirat melebihi dunia sekiranya diperlukan dalam membuat keputusan dan tidak takut kepada apa-apa ancaman.
“Apabila tuanku berhadapan dengan dua pilihan, yang satunya memberi keuntungan akhirat dan satu lagi memberi keuntungan dunia, maka tuanku pilihlah keuntungan akhirat.”
“Dalam melaksanakan perintah Allah, janganlah tuanku takut apa sahaja, bersikap adillah terhadap semua orang, yang dekat dan jauh.”