Telah bertahun-tahun PAS menekankan tentang betapa pembaziran yang telah dilakukan oleh kerajaan Umno Terengganu dengan kegagalan mereka menyiapkan dan memanafaatkan fasiliti di Taman Ilmu yang berjumlah kira-kira RM400 juta itu.
Tiba-tiba semalam, YAB MB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman telah memberikan komen tentang viral gambar-gambar berkaitan Taman Ilmu itu adalah gambar lama.
Saya kurang tahu samada MB tidak pernah ke sana atau tidak? atau beliau telah di “lipat” (ditipu) oleh pegawai beliau sendiri.
Namun, saya lebih percaya bahawa beliau tidak mendapat maklumat yang betul tentang keadaan terkini Taman Ilmu yang hampir-hampir menjadi ‘tugu peringatan’, kegagalan Umno menguruskan wang rakyat.
Saya pernah ke sana pada awal 2017 lalu bagi melihat sendiri bangunan-bangunan “tinggal” yang suatu ketika dahulu pernah dijanjikan oleh dua orang bekas MB Terengganu akan menjadikan Taman Ilmu ini sebagai pusat kegemilangan perkembangan ilmu di negeri Terengganu.
Apa yang saya lihat dalam tinjauan itu ialah, ia tidak banyak berubah berbanding dengan gambar-gambar yang diambil oleh rakan-rakan saya seawal tahun 2015 dan 2016.
Mungkin ini juga menjadikan Dato’ Seri Ahmad Razif keliru dan mengatakan gambar terbaharu yang ditularkan dalam media sosial itu sebagai foto lama kerana tiada nampak apa-apa perubahan pun.
Oleh itu bagi mengelakkan fitnah terus berlegar, MB perlu diberi peluang bagi membersihkan Umno yang dituduh gagal dengan projek itu, dengan membuka seluas-luasnya pintu Taman Ilmu bagi membolehkan setiap rakyat Terengganu melawat dan meninjau sendiri Taman Ilmu itu.
Saya mencadangkan agar ia dilakukan bermula hari ini dan rakyat boleh membuat keputusan samada dibawah Umno “Terengganu Molek Doh” atau “Lok Koho Punoh”.
Terima kasih. Wallahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
24 Jamadilawwal 1439/10 Februari 2018
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.