Oleh M. Kamal Affandi
Menariknya politik adalah kerana ia boleh melibatkan hampir semua orang dalam setiap kelompok masyarakat dalam sesesuah negara. Atas sebab itulah barangkali “man is a political animal,’” kata failasuf terkenal, Aristotle.
Bahang PRU14 semakin terasa. Yang Amat Berhormat Najib Razak pula suka menghangatkannya apabila setiap kali dalam ucapan majlis yang dihadirinya, wartawan tidak lupa untuk mengajukan soalan cepumas: “Bilakah PRU14 akan diadakan?”
Itu privilege seorang ketua kerajaan bernama Perdana Menteri. Dia boleh memilih tarikh pilihanraya sama ada dengan rundingan bersama parti sekutunya atau penasihat-penasihat dalamannya ataupun memutuskannya secara bersendirian. Memang itu hak eksklusif beliau sebagai Perdana Menteri dan ketua Barisan Nasional yang dipimpinnya.
Kita tidak sama dengan banyak negara demokrasi komanwel dunia, Kanada dan United Kingdom umpamanya, di mana ketua parti tidak semestinya ketua kerajaan.
Inilah menariknya Malaysia – sebuah sistem demokrasi berparlimen dengan konsep raja berperlembagaan – antara satu-satunya di dunia moden terkini.
Perlembagaan persekutuan pula memang sukar ditafsirkan secara muktamad oleh pakar perundangan hatta oleh hakim-hakim sendiri yang bersidang di mahkamah, dari mahkamah terendah sehingga ke mahkamah tertinggi. Sekurang-kurangnya itulah perasaan banyak pihak di atas keputusan mutakhir Indira Gandhi (gambar bawah) lawan Muhammad Riduan Abdullah berkaitan hak penjagaan ke atas anak-anak apabila salah seorang pasangan memeluk Islam dalam keadaan kita menerima dua set perundangan – Islam dan sivil.
Umno sedang dinilai pemilih beragama Islam |
Yang tidak bersetuju marah dengan berkata, antaranya: “Hakim-hakim terkhilaf memberi keputusan sivil dalam hal isu Islam yang sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah.” Ini dilihat seolah-oleh enchroaching dalam bidangkuasa urusan Islam yang terletak di bawah Mahkamah Syariah sedia ada dan yang juga sah daripada segi undang-undang semasa berbanding sivil.
Yang menyokong kata Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan kerana “kuasa Mahkamah Syariah diwujudkan daripada peruntukan sivil dalam Perlembagaan,” menurut mereka. Begitulah antara yang kita baca dan yang kita faham.
Judgment Mahkamah Persekutuan adalah kekal dan boleh jadi precedent yang kuat untuk kes-kes selanjutnya yang mempunyai asas-asas perundangan dan fakta kes yang sama. Oleh sebab itulah ada juga pakar yang tidak sabar-sabar nak tengok beberapa kes terbaru yang bakal dihujahkan dalam mahkamah yang tak kurang pentingnya dengan kes terkini Indira Gandhi berkenaan.
Di sinilah timbul kesedaran yang mendalam di kalangan pemikir politik, pengamal undang-undang dan warga Melayu-Islam umumnya tentang betapa pentingnya keputusan PRU ke-14 itu nanti.
Apakah kesemua isu-isu berkaitan Islam seperti “Islam bashing”, “cadangan mengharamkan Jakim dan agensi-agensi Islam lainnya,” “Isu Video Ustaz Wan Ji dan Penghapusan Sultan-Sultan”, isu “Johor for Jesus 2015” dalam YouTube, isu “Dobi Muslim,” “Isu liberalisme-sekularisme-pluralisme & LGBT yang disokong rapat oleh NGO-NGO Liberal-Sekular dengan kerjasama parti politik gabungan Pakatan Harapan dan NGO-NGO Islam tertentu, itu benar dan berkait rapat dengan sekelompok evangelis radikal and sekular?
Apakah terdapat ‘grand design‘ oleh kalangan tertentu untuk meruntuhkan elemen Islam dalam perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama bagi persekutuan di bawah Perkara 3(1) sebagaimana yang telah diputuskan oleh hakim-hakim sebelumnya?
Di sinilah Umno dan kerajaan tercabar sebenarnya. Warga Melayu-Islam menunggu penuh debaran: Apa komen kerajaan selanjutnya atas keputusan mutakhir Mahkamah Persekutuan itu?
Kenyataan standard berbau politik seperti “kita akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan mengkaji semula undang-undang yang ada” akan dianggap kata-kata apologetik dan merendahkan keinginan warga yang cukup marah dengan pendirian kerajaan sedemikian.
Buat apa Melayu BN mahu undi MCA, MIC? |
Persidangan meja bulat sekretariat Ummah pada 7 Feb yang lalu jelas perlihatkan umat Melayu-Islam marah dan ingin mengambil tindakan susulan dalam kerangka perundangan sedia ada untuk melakukan semakan semula atas keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.
Atas pertimbangan terlalu berhati-hati untuk menunjukkan Umno yang mengepalai jentera BN adalah parti besar jiwa untuk semua kaum, sebenarnya Umno/BN telah melukakan banyak warga Melayu-Islam yang rasa terhina, ditipu malah diketepikan kefahaman Islam mereka. Termasuk yang telah dilukakan Umno dan BN ialah rakan strategik PRU14 terbarunya, PAS.
Tindakan MCA berteriak menyambut keputusan menyebelahi Indira Gandhi tidak akan dilupakan pengundi yang telah sokong BN dalam PRU13 sebelumnya. Melayu ini tidak mudah lupa kali ini. Ramai yang sudah mula terfikir: Apa gunanya memberi undi kepada wakil MIC dan MCA dalam kelompok BN dalam keadaan tiada wakil Umno yang bertanding di sesuatu kawasan parlimen atau DUN itu?
Maka kaedah penyelesaian paling tuntas dan menepati tujuan membuang mengundi untuk membina pasukan kerajaan baru ialah dengan warga memberi undi kepada calon PAS atau Gagasan atau calon-calon Umno yang menyokong kedaulatan Islam atau mana-mana calon bukan Islam yang sanggup menyokong dasar-dasar Islam.
Mereka ingin martabatklan Islam dalam kerangka perlembagaan sedia ada. Mereka itu termasuk kalangan yang kuat pertahankan Raja-Raja Melayu selaku tunjang kedaulatan negara Ketua Agama Islam Negeri-Negeri.
Tujuan mengundi adalah untuk suara akar umbi warga didengar dan disambut oleh wakil rakyat yang bertanding. Kalau warga mengundi wakil MIC atau MCA hanya kerana MIC atau MCA dalam komponen BN, maka sejarah sudah buktikan MIC dan MCA menikam umat Melayu-Islam, berkeras menentang usul RUU355 oleh PAS yang disokong oleh Ahli Parlimen Umno.
Pastinya mengundi wakil MIC atau MCA amat merugikan dari segi mempertahankan kedaulatan Islam dalam konteks perlembagaan negara. Kes Indira Gandhi lawan Muhammad Riduan Abdullah mengajar kita mencelikkan mata selaku pemilih yang sangat berharga menentukan wakil lantikan ke sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kesimpulan
Yang setepatnya, andalah kingmaker menjelang PRU14 nanti.
Parti-parti PAS, Gagasan dan Umno ibarat kenderaan untuk menentukan pemilihan anda akan memberikan makna yang jelas kepada kerajaan baru yang mendaulatkan Islam, pertahan kedaulatan raja-raja dan melindungi kedaulatan negara sepenuhnya untuk semua kaum tanpa kecuali.
Senario politik baru bakal muncul jika ini berlaku.
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.