Kempen #UndiRosak mendapat tamparan baru apabila Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata perbuatan itu adalah haram.
“Justeru, berdasarkan kepada kepentingan pelantikan pemerintah, makanya kami cenderung untuk menyatakan bahawa haram merosakkan undi.
“Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi,” kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad.
Kempen itu kembali rancak selepas Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.
Kumpulan ini melihat Mahathir - yang berdepan rekod buruk hak asasi dan dakwaan kuku besi sepanjang 22 tahun pentadbirannya - tidak jauh berbeza dengan Najib.
Justeru, kempen merosakkan undi dan tidak keluar mengundi itu digerakkan sebagai tanda protes kepada kedua-dua belah pihak yang didakwa tidak mampu menjadi alternatif kepada rakyat.
Sementara itu, Zulkifli juga menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi agar mendaftar dengan segera menjelang pilihan raya umum ke-14.
Beliau juga menyeru pengundi melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon-calon yang diyakini menjaga dharuriyyat al-hams yang lima itu iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Pandangan itu dinyatakan dalam siri penjelasan isu semasa di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semalam, setelah diajukan soalan itu pada 27 Januari lalu di Kuching, Sarawak.
Dalam ulasan panjang itu, selain memetik pandangan tokoh-tokoh agama, pejabat itu turut memetik pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.