Bekas naib presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata parti itu kini mempunyai beberapa "tokoh yang tidak diperlukan" untuk membolehkan pertubuhan berkenaan melakukan pembaharuan.
Katanya keadaan Umno kini sudah "baik" kecuali kewujudan beberapa pemimpin serta tokoh yang dianggapnya tidak berfungsi serta tidak lagi diperlukan.
"Orang seperti ini yang layak disingkirkan dalam pemilihan akan datang,” tegasnya dipetik Sinar Harian hari ini.
Muhammad adalah salah seorang pemimpin Umno yang dilihat mampu meningkat lebih tinggi dalam parti itu dan kerajaan sehinggalah beliau didakwa di mahkamah Australia kerana membawa sejumlah besar wang bersamanya.
Beliau ketika itu berkhidmat sebagai menteri besar Selangor.
Selepas meletakkan jawatan Muhammad menjadi 'pengembara' seketika dengan menyertai PAS dan berpindah kepada PKR sebelum kembali kepada Umno melalui pengumuman yang mendebarkan ramai orang tahun lalu.
Umno kini sedang menggiatkan kempen merampas semula Selangor daripada kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.
Pada masa sama sesetengah pihak berpendapat Umno Selangor sendiri tidak cukup padu untuk berdepan dengan kerajaan negeri dengan kewujudan beberapa kem di dalam parti terbabit.
Perlu tokoh lebih amanah
Ketika ini ada tiga bekas menteri besar Selangor dalam Umno. Selain Muhammad, mereka ialah Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar.
Seorang lagi bekas menteri besar yang ada ialah Tan Sri Khalid Ibrahim. Bagaimanapun beliau kekal sebagai wakil rakyat bebas selepas dipecat PKR.
Mengulas lanjut Muhammad - yang pernah membentuk Team Wawasan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dulu - berkata keadaan kini banyak berubah dan ia turut berlaku pada parti-parti politik.
"Setelah singgah dalam beberapa parti politik, akhirnya saya menilai hanya Umno parti terbaik untuk membela nasib orang Melayu,” katanya.
Menurut tokoh yang digelar sebagai Mat Tyson itu Umno juga perlu melakukan perubahan terutama ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) semakin menghampiri.
“Umno wajar memilih calon-calon yang terbaik kerana parti itu sudah terbaik dan paling banyak jasa," katanya.
Justeru untuk memastikan Umno kembali menguasai Selangor Muhammad mencadangkan parti itu bertindak bijak dengan meletakkan calon yang "lebih amanah" untuk dipertandingkan.
“Umno parti yang paling banyak berjasa kepada Melayu. Itu terbukti sejak berpuluh tahun lalu, cuma perlu tukar pemimpin,” katanya.
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.