NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Makna ucapan Gong Xi Fa Cai


Oleh: JOHARI YAP
13 FEBRUARI 2018

BEBERAPA hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Lunar yang juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina. Sebagaimana biasa, akan kedengaran ungkapan Gong Xi atau Gong Xi Fa Cai di sana sini.

Malah, ia turut dijadikan lagu yang akan banyak berkumandang di corong radio, television, juga di pasar-pasar raya menjelang perayaan ini. Namun, tidak ramai yang memahami maksud sebenar ungkapan tersebut yang begitu sinonim dengan Tahun Baharu Cina.

Dalam bahasa Mandarin, Gong Xi bermaksud tahniah manakala Fa bermaksud besar dan Cai bermaksud kekayaan. Maka, Gong Xi Fa Cai membawa maksud “tahniah, semoga bertambah kekayaan/rezeki/kemakmuran”. Terdapat sedikit perbezaan ungkapan ini dalam dialek-dialek Cina tempatan yang lain. Sebagai contoh, Kiong Hee Huat Chai (Hokkien), Kong Hei Fatt Choy (Kantonis), Kong Yee Wat Sai (Hainan), Kiong Hee Fat Choi (Hakka) dan Sin Nien Way Chye (Foochow).

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, melalui Bayan Linnas Siri 48, yang menyentuh berkenaan Islam dan Tahun Baharu Cina, melihat kepada maksud ucapan tersebut, ia jelas tidak bermasalah dan tidak bercanggah dengan akidah Islam kerana ia satu ucapan yang baik. Ia juga dapat mengeratkan hubungan dengan sahabat kita yang berlainan kaum yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum.

Sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia agak meriah memandangkan masyarakat Cina merupakan kaum yang kedua terbesar di Malaysia. Majoriti masyarakat Cina di Malaysia beragama Buddha dan ramai antara mereka menuruti fahaman Confucius dan Taoisme. Ada juga yang beragama Kristian dan Islam.

Walaupun berlainan agama, mereka semua menyambut Tahun Baharu Cina kerana ia merupakan sambutan kebudayaan, bukannya sambutan keagamaan. Tiada permasalahan dengan akidah. Ia semata-mata sempena menyambut tahun baharu mengikut kalendar lunar Cina.

Acara terbesar atau terpenting dalam menyambut Tahun Baharu Cina bukanlah pemberian ang pau (sampul merah) yang berisi wang, atau kunjung-mengunjungi ke rumah sanak saudara dan sahabat handai, tetapi makan malam (makan besar) bersama keluarga pada malam tahun baharu tersebut.

Ketika inilah adik-beradik dan saudara terdekat berkumpul dan makan bersama walaupun mereka semua menetap dan bekerja di tempat yang berlainan. Walaupun tinggal jauh beribu batu, mereka tetap akan pulang untuk makan malam bersama-sama keluarga.

Ucapan sebenar untuk Selamat Tahun Baharu dalam bahasa Mandarin ialah “Xin Nian Kuai Le”. Xin bermakna baharu, Nian pula bermaksud tahun dan Kuai Le ialah kegembiraan. Namun, tidak salah untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai kerana ia juga membawa maksud yang baik. Saya sering mengucapkan tahniah atau “Kiong Hee” dalam bahasa Hokkien kepada sahabat saya apabila mereka mendapat anak, atau naik pangkat, atau membeli rumah baharu.

Dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama dengan kepelbagaian adat dan budaya, kita harus mempunyai sikap yang lebih terbuka dan bertolak ansur (tasamuh dan toleransi) tanpa menggadaikan prinsip-prinsip utama Islam.

Maka, setiap sambutan kebudayaan yang diraikan mestilah tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah Islam. Bertentangan bermaksud sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah Islam.

Pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysian Chinese Muslim Association (Macma) juga mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina yang turut disertai pemimpin negara atau negeri yang beragama Islam. Ia bertujuan menjaga dan memelihara hubungan masyarakat serta meraikan budaya lain bagi melahirkan satu komuniti yang cintakan keamanan serta penuh rasa hormat-menghormati.

Bukankah kita dilahirkan dalam keadaan berbilang bangsa dan suku kaum agar kita dapat kenal-mengenal antara satu sama lain?

Semoga ALLAH SWT sentiasa mengurniakan taufik dan hidayat-Nya kepada kita semua dan supaya kita diberikan kefahaman yang baik dalam beragama, seterusnya petunjuk dan kekuatan untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Marilah kita kekalkan dan pelihara nikmat keamanan dan keharmonian di negara kita ini. Bagaimanapun, dalam kegembiraan menyambut tahun baharu, ingatlah juga pada mereka yang kurang bernasib baik. Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le.
© all rights reserved
made with by templateszoo