Oleh: Tuan Ibrahim Tuan Man
Di saat umat Islam masih dalam kemarahan terhadap apa yang berlaku di Palestin, umat Islam terkejut bila mendapat tahu diplomat Israel telab dibenarkan memasuki Malaysia untuk menghadiri World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur hujung minggu lepas.
Perkara ini juga disahkan oleh Akhbar Times of Israel yang melaporkan bahawa Kementerian Luar Israel mengesahkan kehadiran diplomat kanannya yang diketuai bekas timbalan duta negara itu ke PBB, David Roet di World Urban Forum (WUF).
Difahamkan, Roet bukan sahaja dapat memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel bahkan dia dapat mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu tampil ke depan menjelaskan apakah Malaysia mempunyai hubungan rasmi dengan musuh Islam dan masyarakat antarabangsa itu secara tertutup? Jika tidak, mengapa Wisma Putra membenarkan kemasukan diplomat Israel?
Kehadiran Diplomat Israel ini adalah satu tamparan ke atas umat Islam. Tindakan kerajaan menganjurkan Himpunan Solidariti Al Aqsa di Putrajaya baru-baru ini telah berjaya meningkatkan kesedaran perlunya nasib umat Islam dibela; namun di satu sisi lain kerajaan perlu istiqomah dengan pendirian tersebut.
Sikap double standard ini memperlihatkan kerajaan tidak serius membela nasib Umat Islam di Palestine khasnya Baitul Maqdis yang telah diisytihar oleh Presiden Amerika sebagai ibu negara haram Israel.
Insiden ini membuktikan kerajaan BN tidak serius dan tidak boleh diharap bagi membela nasib Baitul Maqdis yang menjadi qiblat pertama umat Islam.
Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Timbalan Presiden PAS
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.