NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN gagal memastikan semua rumah kos rendah di zaman mereka dibina



BN GAGAL MEMASTIKAN SEMUA RUMAH KOS RENDAH DI ZAMAN MEREKA DIBINA.

Tindakan UMNO mempolitikkan keputusan untuk membatalkan 9 projek rumah mampu milik Rumah Selangorku merupakan satu usaha untuk menutup kelemahan mereka dan ia menunjukkan mereka tidak memahami proses pembangunan sebuah projek perumahan.

Pembatalan 9 projek itu menunjukkan jawatankuasa yang bertanggungjawab telah melaksanakan tugas mereka.

Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku sentiasa memantau pemaju-pemaju yang mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku dan memberi peringatan dan notis apabila terdapat projek yang lewat.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga bersedia membantu pemaju-pemaju yang menghadapi masalah dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Hanya apabila tidak ada tindakan dari pemaju, kelulusan akan dibatalkan.

Dengan pembatalan tersebut, pemaju tidak boleh memulakan pembinaan rumah harga bebas pada projek tersebut.

Di bawah kerajaan negeri hari ini, Rumah Selangorku wajib dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

Oleh yang demikian, pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah Selangorku mereka perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah Selangorku mereka sebelum boleh membina rumah harga bebas.

Ini berbeza dari zaman BN di mana pemaju boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik kos rendah terlebih dahulu. Akibatnya terdapat rumah-rumah tersebut yang tidak dibina hingga ke hari ini.

Contohnya menurut rekod LPHS untuk 2 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan sahaja sebanyak 4,638 Rumah Kos Rendah yang diluluskan di zaman BN masih belum dibina. Majlis Perbandaran Subang Jaya 1,755 unit dan Majlis Perbandaran Kajang 2,883 unit.

Keadaan lebih merumitkan apabila terdapat pemaju yang menjual tanah atau projek mereka kepada pemaju lain. Pemaju baru ini kemudian memohon pembinaan Rumah Kos Rendah dikecualikan di atas alasan mereka tidak mengetahui terdapat syarat membinanya.

Sekiranya pemaju-pemaju diberi amaran seperti hari ini, mereka tidak akan sewenang-wenangnya menangguhkan pembinaan rumah kos rendah sehingga bertahun-tahun lamanya.

Oleh itu, bukan kerajaan negeri hari ini yang gagal tetapi kerajaan negeri BN sebelum 2008 yang gagal. Mereka dilihat takut untuk mengambil tindakan ke atas pemaju-pemaju. Tetapi kerajaan negeri selepas 2008 bersedia mengambil tindakan ke atas pemaju-pemaju yang dilihat tidak serius untuk membina Rumah Selangorku.

Walau bagaimanapun bilangan projek yang dibatalkan adalah kecil berbanding dengan bilangan projek yang telah mendapat Kebenaran Merancang atau sedang dalam pembinaan.

Bilangan projek yang telah mendapat Kebenaran Merancang adalah 179 projek (100,533 unit) dan bilangan yang sedang dalam pembinaan adalah 29 projek (20,627 unit). Manakala sebanyak 17 projek (3,620 unit) telah siap dan diduduki sejak 2014.

Terdapat juga dakwaan mengatakan dengan pembatalan projek-projek tersebut maka pembeli-pembeli akan teraniya.

Mereka yang membuat dakwaan ini tidak memahami proses pembangunan projek perumahan di negara kita.

Projek-projek yang dibatalkan kelulusan tidak ada Kebenaran Merancang. Sekiranya sesuatu projek itu tidak ada Kebenaran Merancang maka ia tidak memiliki Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) dan rumah-rumah tidak boleh dijual.

Oleh yang demikian mereka yang membuat dakwaan tersebut hanya sekadar membuta tuli membuat tuduhan.

Mereka juga mendakwa penjelasan YAB Dato' Menteri Besar dan kenyataan Exco Perumahan adalah bercanggah.

Dato' Menteri Besar menjelaskan pembatalan ini berlaku kerana pemaju mengutamakan pembinaan rumah mewah. Kenyataan Exco pula menyebut pemaju gagal memohon Kebenaran Merancang.

Kedua-dua kenyataan ini tidak bercanggah. Di antara sebab pemaju tidak memohon Kebenaran Merancang untuk Rumah Selangorku adalah kerana mengutamakan pembinaan rumah mewah.

Walaupun pilihan raya telah hampir tiba tetapi elakkan daripada mempolitikkan setiap ayat dan setiap perkataan. Pamerkan sedikit kematangan.

YB Dato' Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
13 Februari 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo