BENARKAH DATUK SERI ABDUL HADI PUNCA KEKALAHAN PAS DI TERENGGANU PADA PRU 2004?
Sekali lagi saya tergelak bila membaca kenyataan Pengarah Hal Ehwal Syariah Parti Amanah Negara (AMANAH), Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi, bertajuk “Akhirnya Abdul Hadi Akur Kewujudan AMANAH Adalah Ijtihad” hari ini, 18 Februari 2018.
Seperti kenyataan media Presiden AMANAH sebelumnya, kenyataan Zolkharnain Abidin ini juga adalah maklum-balas AMANAH terhadap kritikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepada AMANAH di dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Kata Zolkharnain Abidin di dalam kenyataan ini: “Bukankah lebih baik Abdul Hadi mengaku kesilapannya dalam memimpin PAS daripada menyalahkan pihak lain terutamanya DAP? Terengganu tewas selepas sepenggal dia pimpin salah DAP juga?”
Sebenarnya, kenyataan Zolkharnain Abidin yang meletakkan kekalahan PAS di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 4 Mac 2004 ke atas pundak Datuk Seri Abdul Hadi ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dibuat oleh pemimpin DAP sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, juga pernah menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi di atas kekalahan PAS di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 ini kerana kononnya tindakan beliau memperkenalkan hukum hudud pada tahun 2003 adalah puncanya.
Dakwa Lim Guan Eng pada 29 April 2014: “Abdul Hadi should not forget that he was the Terengganu Menteri Besar that passed the hudud law in Terengganu in 2003 and immediately thereafter lost Terengganu in the 2004 general elections to UMNO”.
Dakwaan sama turut dibuat oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang dilaporkan pada 31 Januari 2017 sebagai menyebut Datuk Seri Abdul Hadi hanya Menteri Besar sepenggal sahaja, sambil menanyakan, “apakah penjelasan Hadi mengenai kekalahan (pada 2004) ini?”
Tujuan semua kenyataan ini adalah amat mudah sekali, iaitu untuk memperlekehkan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi di mata rakyat umum kerana kononnya gagal di negeri sendiri sekali gus bagi mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden PAS.
Malangnya, semua mereka ini, termasuk Zolkharnain Abidin sendiri, cepat lupa bahawa Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, pernah menulis pada 8 Mac 2013 bahawa kekalahan PAS di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 ini adalah berpunca daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Dakwa Liew Chin Tong di dalam tulisan yang dimuatkan di dalam buku beliau bertajuk “Middle Malaysia: Centre Ground Is Battle Ground” ini: “The redelienation exercise of 2003 clearly favoured BN. The influx of dubious new voters in Terengganu ended PAS’ rule there.”
Malah, Naib Presiden AMANAH, Husam Musa, di dalam satu laporan portal berita Free Malaysia Today bertajuk “Husam: Terengganu Jadi Bukti Penipuan SPR” pada 18 Julai 2011, mendakwa kekalahan itu adalah berpunca daripada penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Dakwa Husam di dalam laporan itu, “statistik PRU 11 bagi Terengganu tidak masuk akal kerana pengundi baru bertambah sebanyak 62 peratus iaitu tertinggi di dunia” dan “pertambahan pengundi muda yang baru didaftarkan pun tidak sama dengan jumlah pertambahan pengundi dalam tahun 2004”.
Begitu juga dengan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, yang direkodkan oleh portal berita The Mole pada tahun 2014 sebagai mendakwa kekalahan itu berpunca daripada manipulasi undi, khususnya “high number of new voters and higher turnouts”.
Soalnya sekarang ialah kenapakah Zolkharnain Abidin begitu teraba-raba sekali sehingga begitu berani sekali menyanggah Liew Chin Tong, Husam Musa dan Khalid Samad sendiri di dalam perkara ini?
No comments
Post a Comment