SURAT TERBUKA KEPADA YBHG. DATO’ AMARJIT SINGH GILL, WAKIL MALAYSIA KE KESATUAN BERBASIKAL ANTARABANGSA (UCI) DARI BDS MALAYSIA
21 Februari 2018
YBhg. Dato',
1. Mutakhir ini menyaksikan Israel semakin rancak menyusun strategi untuk menormalisasi hubungannya dengan pelbagai negara. Terbaru diplomat Israel ke UN-Habitat menjadi wakil rasmi kerajaan Israel yang pertama masuk ke Malaysia sungguh pun Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik. Pun begitu, pihak kami ingin menarik perhatian YBhg. Dato' kepada satu lagi tindakan licik Israel untuk menormalisasi hubungannya dengan pelbagai negara dan mengendurkan penentangan dunia terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang Israel lakukan menerusi acara sukan berbasikal.
2. Seperti yang YBhg. Dato' sedia maklum melalui Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang mana YBhg. Dato' adalah Ahli Lembaga Pengurusannya, atau melalui surat, emel dan mesej whatsapp yang dihantar oleh Boycott, Divestment and Sanction Malaysia (BDS Malaysia) pada 17 Januari 2018 yang lalu kepada pihak YBhg. Dato', Israel akan menjadi tuan rumah bagi acara sukan berbasikal Giro d’Italia pada Mei 2018. Acara ini adalah antara acara jelajah berbasikal yang terbesar di dunia dan tersenarai sebagai salah satu acara Jelajah Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI WorldTour) 2018.
3. Pemilihan Israel sebagai tuan rumah kepada acara ini telah mendapat bantahan lebih 120 badan hak asasi manusia antarabangsa kerana Israel cuba menggunakan Giro d'Italia sebagai platform untuk mempromosikan Jerusalem sebagai ibu negara Israel kepada seluruh dunia. Tindakan ini bertentangan dengan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa termasuk resolusi Perhimpunan Agung PBB ES-10/L.22 yang diputuskan pada 21 Disember 2017 baru-baru ini ekoran pengumuman Presiden Donald Trump yang mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel. Malaysia adalah antara negara yang keras membantah pengumuman ini.
4. Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian tentang Israel dan Giro d'Italia 2018:
a. Giro d'Italia mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel
Sebelum pengumuman oleh Presiden Donald Trump, Giro d'Italia telah pun mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel. Ini terbukti apabila ia menggunakan imej Jerusalem Timur, wilayah yang diiktiraf antarabangsa sebagai wilayah Palestin yang dijajah oleh Israel (Occupied Palestinian Territories, oPt), dalam promosi-promosinya yang menggambarkan seolah-olah wilayah ini adalah sebahagian daripada Israel. Bahkan, Giro d'Italia menggugurkan perkataan "barat" dari "Jerusalem Barat", wilayah Jerusalem yang dirampas dan dikuasai oleh Israel selepas Perang Arab-Israel 1948, berikutan ancaman Israel untuk menarik balik penajaannya daripada acara ini. Tindakan ini meletakkan Giro d'Italia sebaris dengan Trump dan seharusnya turut sama dibantah.
b. Giro d'Italia menutup mata ke atas kezaliman Israel
Peringkat pertama dan ketiga acara ini akan melalui wilayah Jerusalem dan wilayah Negev di selatan Israel. Jika laluan di Jerusalem mengiktiraf penguasaan Israel ke atas kota itu, laluan di Negev memaksa dunia menutup mata terhadap kezaliman Israel ke atas komuniti Arab Badwi di wilayah tersebut. Komuniti Arab Badwi di Negev telah lama ditindas dan dinafikan hak mendapatkan keperluan asas seperti air, elektrik, jalanraya, sekolah dan perkhidmatan kesihatan oleh Israel sejak Palestin dijajah pada tahun 1948. Penempatan-penempatan mereka bahkan sering dimusnahkan oleh tentera Israel.
c. Penglibatan Israeli Cycling Federation (ICF) dan Israel Cycling Academy (ICA) dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa
Israel Cycling Federation (ICF) mencabuli undang-undang antarabangsa dengan menaja dan menganjurkan perlumbaan di wilayah Palestin yang dijajah (oPt) dan di wilayah Bukit Golan yang dirampas dari Syria. Israel Cycling Academy (ICA) akan menyertai perlumbaan saringan di wilayah jajahan Jerusalem Timur melalui koloni haram Pisgat Ze’ev beberapa hari sebelum perlumbaan Giro d’Italia bagi merebut slot wildcard untuk menyertai Giro d’Italia.
d. Giro d'Italia bekerjasama dengan pihak dan syarikat penaja yang melanggar undang-undang antarabangsa
Selain bekerjasama dengan kerajaan dan Majlis Perbandaran Israel di Jerusalem yang melakukan pelbagai pencabulan hak asasi manusia ke atas penduduk Arab Palestin di wilayah tersebut, Giro d'Italia juga menerima penajaan daripada syarikat-syarikat Israel yang turut melanggar undang-undang antarabangsa kerana beroperasi di wilayah Palestin yang dijajah (oPt) seperti syarikat Comtec Group.
e. Israel merancang meraikan 70 tahun penubuhan Israel ketika Giro d'Italia berlangsung
Israel bercadang untuk menjadikan Giro d'Italia sebagai salah satu acara untuk meraikan ulangtahun ke-70 penubuhan Israel walhal pada waktu yang sama Mei 1948 merupakan detik hitam kepada lebih 700,000 rakyat Arab Palestin apabila mereka diusir keluar daripada kampung-kampung halaman mereka oleh kumpulan militan Zionis dalam usaha mereka membina negara Israel. Peristiwa ini disebut sebagai an-Nakbah (malapetaka).
5. Kod Etika UCI ada menyebutkan tanggungjawabnya untuk "menjaga integriti dan reputasi sukan berbasikal di seluruh dunia." Penglibatan Israel sebagai tuan rumah Giro d’Italia jelas merosakkan integriti dan reputasi sukan berbasikal dunia apabila acara ini diadakan di wilayah Palestin yang dijajah (oPt) dan bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat-syarikat Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.
6. Selaku Ahli Lembaga Pengurusan UCI dan wakil Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ke UCI, YBhg. Dato' mampu memainkan peranan untuk menjaga nama baik, integriti dan reputasi sukan berbasikal dunia dan mempertahankan pendirian Malaysia dalam isu Jerusalem dan pencabulan undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia oleh Israel.
7. Justeru itu, kami yang bertandatangan di bawah menggesa pihak YBhg. Dato' untuk memberi sepenuh perhatian dan kerjasama untuk turut serta dalam usaha membantah penglibatan Israel dalam acara Giro d’Italia 2018 melalui tindakan-tindakan berikut:
a. Mendesak Giro d'Italia agar mengeluarkan Israel daripada siri jelajahnya;
b. Menggesa PKBM dan ahli-ahli UCI yang lain memboikot Giro d'Italia dan mendesak UCI untuk mengeluarkan Giro d'Italia daripada senarai Jelajah Dunia UCI sekiranya Giro d'Italia enggan berbuat demikian;
c. Mengusulkan kepada UCI agar menggantung keahlian Israel Cycling Federation (ICF) dan Israel Cycling Academy (ICA) sekiranya mereka masih meneruskan aktiviti di wilayah Palestin yang dijajah (oPt).
8. Semoga dengan usaha ini nasib rakyat Palestin dapat terus dibela, kezaliman serta pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel dapat dihentikan dan pendirian Malaysia dapat terus dipertahankan. Kerjasama YBhg. Dato' dalam perkara ini amat kami hargai dan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
1. Boycott, Divestment and Sanction Malaysia (BDS Malaysia)
2. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
3. Viva Palestine Malaysia (VPM)
4. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
5. Ummatic Mission Relief (UMR)
6. Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM
7. Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia
8. ABIM
9. KIMB
10. Global Peace Mission (GPM) Malaysia
11. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
12. HALUAN Malaysia
13. WAMY Malaysia
14. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( MAPIM )
15. Movement for Monetary Justice (MMJ)
No comments
Post a Comment