Siapa yang mampu melawan takdir dan ketentuan Allah SWT, setiap makhluk dan hamba-Nya yang bernyawa pasti akan mati.
Pada tengah hari kelmarin, situasi di Meja Hiburan RAP agak kecoh
dengan penyebaran berita pemergian bintang filem popular era 1980-an,
Azmil Mustapha.
Tidak mahu terburu-buru, persoalan ini terus diajukan kepada keluarga
terdekat iaitu adik Muhammad Aziph menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak
berapa lama kemudian, dia mengesahkan perkara itu.
Amat mudah dan tenang figura yang popular menerusi filem Mekanik
(1983), Ali Setan (1985), Ali Setan 2 (1986), Suara Kekasih (1986),
Kepala Angin (1987), Driving School (1990), XX Ray 2 (1995), Iman Alone
(1998), Hanya Kawan (1997) dan Puteri Gunung Ledang (2004) ini pulang ke
alam abadi iaitu ketika dalam tidur di rumahnya di Seksyen 9, Shah Alam
kira-kira jam 12.40 tengah hari pada usia 65 tahun.
Sebelum ini
Allahyarham pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung, Hospital
Putrajaya akibat kegagalan jantung berfungsi sepenuhnya.
Sebagaimana kehebatan populariti pada zaman muda, Azmil juga dikagumi ramai pada hujung usianya kerana memilih jalan dakwah.
Impiannya ini diluahkan menerusi satu temu bual dengan akhbar ini dan
ia akhirnya menjadi kenyataan. Anak kelahiran Port Dickson, Negeri
Sembilan ini kini lebih dikenali dengan gelaran ustaz dan pendakwah
bebas.
Azmil mula membuka mata peminat dengan keberkesanan lakonannya menerusi filem Mekanik arahan Othman Hafsham.
Bagaimanapun, namanya menjadi fenomena hebat menerusi filem Ali Setan yang menggandingkannya dengan Fauziah Ahmad Daud (Ogy).
Kenakalan Ali yang sering mengusik Asmidar ketika di kampus kekal diingati peminat sehingga kini.
Kejayaan membawa watak ini dengan baik melayakkan Azmil diangkat Aktor
Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) keenam pada 1986.
Itu
hanya karakter dalam filem kerana di dunia realiti, beliau seorang
individu yang baik dan amat prihatin. Perkara ini didedahkan Ogy dalam
temu bualnya kepada media.
“Arwah menjaga saya seperti adik terutama ketika kami sama-sama menjalani penggambaran filem Ali Setan.
“Saya juga tidak pernah dengar arwah bercakap buruk pasal orang,
semuanya baik-baik saja. Dia seorang yang sangat selesa untuk berkawan
dan berbual,” katanya.
Selain itu, Azmil individu yang paling
kuat memberi sokongan terhadap apa saja yang dilakukannya termasuk
ketika mula-mula melakukan penghijrahan dalam hidup.
Melihatkan
pada latar belakangnya, Azmil bukan calang-calang kerana dia graduan
Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat dan pulang bersama
segulung ijazah sarjana muda dalam jurusan filem, radio dan televisyen
(TV) pada 1979.
Azmil juga pernah berlakon dalam filem luar
negara iaitu Fifty Fifty terbitan produksi Amerika Syarikat (AS) serta
tiga filem usaha sama Malaysia-Indonesia iaitu Madu Dan Racun, Gadis
Hitam Putih dan Dewi Cinta.
Azmil pernah bekerja dengan syarikat
Showmaster, milik penganjur persembahan, Ali Bakar selama dua tahun bagi
menimba pengalaman sebelum mengambil keputusan aktif sebagai pelakon
sepenuh masa.
Era penghijrahan Azmil bermula pada awal 1990-an,
yang menyaksikan dia mula menumpukan perhatian kepada keluarga dan
mendekati jalan agama termasuk mengembara ke beberapa negara antaranya
Syria bagi mendalami ilmu agama.
Allahyarham berdepan dua kegagalan rumah tangga, namun dan masih menjalin hubungan baik dengan bekas isterinya.
Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata, Nur
Shamira manakala bersama isteri kedua, Allahyarham dikurniakan empat
anak iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri
dan Nur Alia Iman.
Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan
Islam, Seksyen 21, Shah Alam selepas waktu Asar dan dihadiri oleh ramai
rakan artis dan peminat bagi memberikan penghormatan terakhir.