Kota Bharu, Kelantan: Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menegur pemimpin parti Amanah terutama dari luar Kelantan yang disifatkannya mempolitikkan isu penarikan balik darjah kebesaran Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah oleh Sultan Muhammad V.
Ini kerana, selain pihak istana berada di atas daripada politik, penarikan balik darjah kebesaran oleh Sultan adalah sesuatu yang lazim dilakukan apabila timbul keperluan ke atasnya tanpa mengenal batasan politik.
Menurut Dr Kamarul lagi seperti dipetik dari Sinar Harian, peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menyatakan bahawa Sultan boleh menarik balik darjah kebesaran jika penerima darjah kebesaran melakukan kesalahan menurut pertimbangan baginda.
“Ada persepsi kononnya penarikan balik darjah kebesaran Husam dan Wan Abdul Rahim adalah berpunca dari orang politik atau bermotif politik, kerana kedua-duanya (Husam dan Wan Abdul Rahim) adalah Naib Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Kelantan.
“Bagaimanapun, persepsi ini tidak betul kerana penarikan balik darjah kebesaran adalah kuasa prerogatif Sultan yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.”
Beberapa hari yang lalu darjah kebesaran yang dikurnia Sultan Muhammad V kepada Naib Presiden Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah iaitu Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK)(Al-Ismaili II) ditarik balik. Comments
________________