NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agaknya dari mana datangnya duit parti-parti politik Malaysia?



Oleh: Dr Fathi Yusof 

Bukan senang menguruskan kewangan parti-parti politik di Malaysia. Parti-parti memerlukan perbelanjaan besar. Ia termasuk untuk belanja kempen seperti membeli bendera, poster, papan tanda, upah petugas,  penganjuran acara ceramah, dan banyak lagi. Termasuk juga belanja pilihan raya seperti wang deposit calon.  Juga untuk pengurusan parti seperti membayar gaji, belanja pengangkutan,  sewa bangunan pejabat dan lain-lain. Menjelang pilihan raya umum, jumlah ini meningkat berkali ganda. 

Soalnya,  bagaimana parti-parti politik di Malaysia mendapat dana? Adakah dengan jalan yang sah atau rasuah? Adakah wang rakyat disalahgunakan untuk kepentingan kepartian? 

Secara umumnya, ada tiga cara utama parti-parti politik seluruh dunia mendapat dana, iaitu:

Pertama: Sumbangan ahli atau penyokong. Kaedah ini berlaku samada melalui yuran wajib, kutipan derma waktu ceramah, sumbangan tetap atau seumpamanya. Pemberian ini dibuat kerana sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada perjuangan parti berkenaan. 

Kedua: Subsidi kerajaan. Sesetengah negara menyediakan peruntukan khas untuk parti-parti politik. Agihan berdasarkan jumlah undi yang diperolehi, atau jumlah kerusi dalam dewan perwakilan, atau menggunakan formula lain. 

Ketiga: Sumbangan korporat. Iaitu derma atau pemberian dana oleh badan korporat. 

Daripada ketiga-tiga sumber dana di atas,  cara yang ketiga yang terdedah kepada rasuah atau salahguna kuasa. Apa tujuan badan korporat memberikan wang kepada parti politik? Apa yang diharapkan dari 'derma' itu? 

Terdapat andaian umum yang menganggap sumbangan badan korporat adalah untuk mendapatkan balasan bila parti yang disokong itu menang. Jika berlaku demikian maka ia adalah rasuah,  atau disebut dengan istilah kick back. 

Sebab itulah negara demokrasi sebenar menetapkan peraturan ketat berkaitan sumbangan badan korporat kepada parti-parti politik. 

Di antaranya undang-undang yang mewajibkan parti-parti dan badan korporat mengisytiharkan sumbangan. Terdapat juga larangan sumbangan dari syarikat atau badan korporat yang mendapat projek dari kerajaan. Perbelanjaan parti-parti politik juga dikawal ketat oleh badan pengendali pilihan raya. 

Malangnya,  semua kawalan di atas tidak wujud di Malaysia. Akibatnya, parti-parti politik di Malaysia bebas untuk menerima dana dari sesiapa sahaja. Tiada syarat untuk isytihar penerimaan dan pemberian dana politik. Parti pemerintahan boleh menerima dana dari syarikat yang menerima projek kerajaan. 

SPR pula tiada kuasa mengawal pendapatan dan perbelanjaan parti-parti politik. Had perbelanjaan calon pilihan raya langsung tidak mampu mengawal perbelanjaan parti politik.

Ringkasnya kawalan ke atas dana parti politik di Malaysia terlalu longgar, atau sebenarnya, langsung tiada. Akibatnya kita hingga kini tidak mampu menjawab soalan yang fundamental: Dari manakah datangnya wang parti-parti politik di Malaysia? Apakah yang dapat menjamin parti-parti politik Malaysia tidak terlibat dalam penyelewengan dana politik? Apa jaminan wang rakyat selamat dari rasuah politik? 

Agaknya bila soalan-soalan ini dapat dijawab dengan sejujurnya. Moga Allah kurniakan yang terbaik buat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti. 

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) 
Universiti Teknologi Malaysia. 
17 Februari 2018
© all rights reserved
made with by templateszoo