Oleh : Nasrudin bin Hassan
1. Keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan terhadap kes Indira Gandhi a/p Mutho vs Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & 2ors semalam merupakan satu lagi episod pertembungan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di negara ini.
2. Kes yang berkait dengan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) bukanlah sesuatu yang baharu. Akta ini juga sebenarnya telah mengalami suatu proses yang rumit sejak ia diluluskan pada 1976 yang mengambil masa selama 6 tahun sebelum digazetkan pada 1982.
3. PAS mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai suatu badan yang berautoriti dan profesional dalam melaksanakan tugas kehakiman. Namun, PAS juga berpendirian isu ini memerlukan langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih komprehensif demi mewujudkan keharmonian di antara dua institusi mahkamah di Malaysia.
4. Ketika pindaan baru Akta 164 dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu, PAS telah kemukakan pendirian supaya kerajaan mempertimbangkan suatu bentuk sulh atau mediasi / timbang tara bagi mewujudkan penyelesaian menang-menang yang lebih harmoni di antara kedua-dua belah pihak.
5. Ini kerana kes-kes yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan ketegangan agama, bahkan melibatkan kebajikan dan emosi kedua-dua belah keluarga khususnya anak-anak. Justeru, langkah ke arah pendamaian seharusnya diutamakan.
6. PAS juga membantah keras pendirian kerajaan untuk mencadangkan dikemukakan semula pindaan Seksyen 88A yang telah ditarik balik dalam pindaan sebelumnya. Selain bersifat berat sebelah, pindaan seksyen berkenaan hanya menambahkan ketegangan kepada isu yang sedia ada.
7. Percubaan mengemukakan semula Seksyen 88A tersebut bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan malah menyemarakkan kemarahan ummat Islam. Justeru itu, kerajaan usah mencabar kesabaran ummat Islam dengan bermain sentimen dalam hal ini.
8. Inilah situasi yang telah kami duga sewaktu membantah Pindaan Akta 164 di Parlimen tempohari. Kebarangkalian Seksyen 88A kembali diangkat semakin nyata. Kerajaan dilihat terus menerus tunduk kepada pihak yang menentang Islam. Ini perkembangan yang sangat mendukacitakan bagi ummat Islam.
9. Seperkara lagi, Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) dibawah Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah perlu mengoptimumkan peranannya dalam menangani pertembungan dua institusi mahkamah yang juga berkait dengan Akta 164 supaya keharmonian di antara dua institusi ini dapat diwujudkan dalam jangka masa panjang.
10. PAS mengharapkan kerajaan jangan bermain api di tepi loji minyak. Sebaliknya kerajaan mesti mengambil langkah yang proaktif dan tidak mengambil tindakan "separuh masak" dalam menangani kerumitan isu yang sedang melanda ketika ini.
Sejahtera Bersama Islam
Nasrudin Hassan adalah Ketua Penerangan PAS Pusat
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.