HARAPNYA tidak berlaku apa yang dikatakan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan pembangunan di DUN yang diwakili PAS.
Inilah yang berhembus di Selangor hingga menggerak hati PAS hendak mengadu kepada Sultan. Angin menderu itu tidak dikira ribut, tetapi angin politik menjadi ribut.
Sama ada ia ribut atau sekadar sepoi-sepoi bahasa, ia adalah politik yang menggelikan. Sama ada ia betul atau sekadar satu salah faham, dan yang dikatakan dipotong itu termasuklah dua DUNnya yang dibawa lari? Ia terjadi beberapa bulan saja lagi pilihan raya.
Yang jadi geli itu kerana penggal kerajaan di ambang tamat. Dua tiga bulan saja lagi. Lepas itu peruntukan itu akan ditentukan oleh parti yang menang dalam pilihan raya.
Berapa duit sangat yang dapat selamatkan atau dijimatkan oleh kerajaan yang berlebihan duit itu.
Tiada apa manfaat politik yang boleh diraih kerajaan dan pimpinan kerajaan yang bertindak begitu. BN yang mengamalkan diskriminasi di Parliman/DUN pembangkang, sekalipun politik tidak bermaruah, tetapi hendak melemahkan pembangkang di kawasan itu.
Bila sekatan dibuat, YB tidak dapat menggunakan peruntukan kerajaan untuk mendapat faedah politik, dan bila pembangunan di kawasan itu tidak rancak diharapkan pengundi tidak lagi menyokong pembangkang.
Kesannya pun tidak ada. Peruntukan ada atau tidak, pembangkang di bandar-bandar terus menyokong DAP. Peruntukan di Kelantan disekat, ia masih dikuasai PAS juga. Apa yang BN dapat? Nama buruk saja.
Maka tiada apa yang PKR dan Harapan dapat dari menyekat peruntukan dua tiga bulan lagi. Sebaliknya ia boleh menjejaskan wibawa kepimpinan si penyekat.
Tidak berapa masuk akal Menteri Besar Azmin Ali boleh bertindak begitu melainkan tidak rasional lagi. Dan sekalipun MB banyak kuasa, tapi kerajaan yang ada itu masih kerajaan bersama PAS.
Tidak bijak tindakan seperti tidak dibincangkan oleh Exco sedang PAS ada tiga Exco untuk menentukan kelancaran pentadbiran kerajaan dari semasa ke semasa.
Tekanan dari BN dan DAP bahawa PAS jadi pihak ketiga dalam PRU14 bukan perkembangan baru. Ia sudah diiklankan sejak tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan lebih dua tahun lalu.
Jika peruntukan itu hendak disekat mengapa tunggu tiga bulan sebelum Parlimen bubar? Mengapa tidak dari dulu atau setahun dulu?
Dan politik geli ini terjadi bukan mustahil gara-gara perangkap berterusan DAP dan BN/Umno supaya pilihan raya tiga penjuru diteruskan. BN mahu PAS bersendirian dan DAP mahu jangan ada hubungan lagi PKR dengan PAS.
Sekalipun betul ada sekatan itu, saya payah percaya. Yang saya percaya ia satu salah faham justeru ada yang tidak kena dalam pentadbiran, maka aliran peruntukan terlambat. Terlambat boleh jadi silap atau ada anasir yang buat silap supaya memburukkan imej Azmin berterusan hingga DUN dibubarkan.
Ramai yang mahu supaya orang PAS marah pada Azmin dan jika boleh sama marahnya dengan DAP.
Memang perkara bukan isu itu sudah jadi isu. Kita ada banyak isu mengapa PAS tidak boleh bersama Harapan dan tidak boleh bersama Umno. Menyekat peruntukan menjelang parlimen bubar memang menggelikan sama geli dengan Mahfuz Omar tidak tunggu parlimen bubar untuk keluar PAS.
Benda boleh selesai dengan parlimen bubar, buat apa tambah perbalahan dengan benda kecil sedang kita banyak benda besar yang dibalah?
Subky Latif adalah anggota veteran PAS