Oleh: A Kumaresan
Bagaimana MIC nak menjuangkan isu kaum India apabila parti itu hanya akan bertanding sembilan daripada 222 kerusi parlimen? Presiden MIC Dr S Subramaniam berkata pada PRU14 yang akan datang pengundi kaum India harus memberi sokongan dan kepercayaan mereka kepada parti tersebut kerana ia adalah satu-satunya parti yang akan memperjuangkan isu dan kebajikan kaum India.
Persoalannya adakah MIC mampu untuk bersuara untuk kaum India apabila parti itu telah mengisytiharkan bahawa hanya akan bertanding sembilan daripada 222 kerusi parlimen pada PRU14.
Maka, saya tidak nampak di mana logiknya yang mengatakan MIC mampu untuk membantu meningkatkan socio ekonomi masyarakat India. Apa yang mereka dapat lakukan di Dewan Rakyat dengan memiliki ahli parlimen yang paling kurang?
Untuk sesebuah parti mendapatkan kuasa politik, maka kerusi yang ditandingi harus menjadi kayu pengukur. Dalam hal ini, MIC dilihat tidak lagi menjadi parti tunggal yang memperjuangkan kepentingan melibatkan masyarakat India kerana kerusi yang ditandingi oleh calon India dalam Pakatan Harapan adalah lebih banyak daripada MIC.
MIC hanya dilihat sebagai macai kepada tuannya iaitu Umno dan kuasa politik yang dimiliki oleh MIC adalah sangat minima. Malahan, mereka juga tidak dilihat sebagai parti kerdil dalam BN. Selain itu, tanpa bantuan daripada Umno, MIC juga tidak mampu meraih undi pengundi bandar dan orang Melayu.
Oleh yang demikian, sudah pasti dan jelas bahawa MIC tidak dapat bersuara dalam hal berkaitan kepentingan kaum India.
______________________________
A Kumaresan adalah exco Angkatan Muda Keadilan Pusat