By Wartawan Menara - January 24, 2018
Puak berhaluan kiri yang terkebelakang atau mundur adalah golongan yang memanipulasi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia (UDHR), bukan yang membelanya.
Mereka bukanlah pejuang hak asasi manusia; mereka adalah pemeras ugut politik yang mencantikkan permintaan mereka dengan menggunakan bahasa hak asasi manusia, demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).
Menurut Pengerusi MACSA, Azril Mohd Amin dan Pengerusi Bersama, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, mengiktiraf individu LGBT sebagai golongan yang mempunyai hak dan perlindungan istimewa adalah berdasarkan konsep bahawa pegangan homoseksual merupakan satu identiti. Namun, UDHR tidak memberikan sebarang pengiktirafan istimewa bahawa homoseksualiti ialah satu identiti yang berhak mempunyai hak dan perlindungan tertentu.
“Mengambil contoh hak untuk berkahwin, UDHR menyokong hak untuk berkahwin. Tetapi hak untuk berkahwin yang didukung oleh UDHR hanya eksklusif untuk pasangan heteroseksual di mana artikel 16(1) menggunakan frasa “lelaki dan wanita yang cukup umur”. Tidak ada langsung (dicatatkan) di sini ianya bertentangan dengan UDHR sekiranya seseorang tidak bersetuju dengan hak perkahwinan untuk pasangan sama jantina.”
“Bahkan tidak ada apa-apa yang tidak tepat jika menggambarkan bahawa permintaan dan gesaan hak-hak untuk gay dan pasangan sama jantina untuk berkahwin adalah agenda politik semata-mata, bukannya kebimbangan hak asasi manusia.”
Kata mereka lagi, sekiranya seseorang memilih pasangan sama jantina, dia sebenarnya telah memilih untuk tidak berkahwin dan beranak. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh menggunakan haknya untuk makanan sekiranya mereka telah memilih untuk membelanjakan hasil gajinya untuk perkara lain (selain makanan).
Selain itu, UDHR hanya menyatakan bahawa hak-hak umum yang digariskan dalam deklarasi itu tidak boleh dinafikan daripada seorang individu pun berdasarkan seks. Dan istilah ‘seks’ yang digunakan merujuk kepada anatomi biologi individu, berlawanan dengan istilah jantina yang membawa maksud peranan sosial berdasarkan seks seseorang.
“Menggunakan agenda politik untuk mengiktiraf homoseksualiti sebagai satu identiti dan bukannya tingkah laku yang dipilih tidak mempunyai asas dalam UDHR. Dan menentang agenda ini adalah tidak bertentangan dengan hak-hak yang termaktub dalam UDHR.”
“Mukadimah UDHR menyatakan bahawa “fahaman umum tentang hak-hak dan kebebasan ini adalah amat penting bagi memahami sepenuhnya ikrar ini. Akan tetapi, golongan haluan kiri ini mahu menafsirkan semula terma kontrak UDHR yang telah ditandatangani. Dan dengan penafsiran semula yang baru ini, mereka mahu memasukkan semua perkara yang tidak dipersetujui orang yang menandatanganinya di mana mereka memanggilnya sebagai ‘membela’ UDHR!”
Mengakhiri kenyataan, MACSA berkata, seseorang perlu menyoal, mengapa puak kiri di Malaysia menganggap apabila rakyat Malaysia tidak mengiktiraf homoseksual dan menentang projek politik sama jantina, maka mereka (yang menentang) adalah tergolong sebagai ekstremis agama dan pentaksub bodoh? Dan mengapa mereka (golongan kiri) sangat tidak demokratik dalam usaha mencapai agenda ‘hak asasi manusia’ mereka?
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.