Berita pembebasan Anwar Ibrahim pada 8 Jun 2018 nanti merupakan berita paling mengembirakan keluarga beliau dan penyokong-penyokong reformasi. Mengikut keputusan Mahkamah, Anwar dipenjarakan selama 5 tahun sejak 10 Februari 2015 atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari dan sepatutnya keluar pada 9 Februari 2020. Namun berita pembebasan awal Anwar ini sedikit pelik dan penuh tanda tanya disebabkan pada 23 Mac 2016 Nurul Izzah mengumumkan bahawa keluarga Anwar tidak akan memohon Parol untuk membolehkan Anwar keluar awal kerana yakin beliau tidak bersalah.
MAHATHIR MENYERAP MASUK DALAM PH GUSARKAN ANWAR-NAJIB
Sebelum cerita tentang pembebasan Anwar kita lihat dulu sejarah kemasukkan Mahathir ke dalam Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan menjadi punca pembebasan Anwar oleh Najib.
Setelah bergaduh dengan Najib, Mahathir bersama Isterinya mengumumkan keluar Umno pada 29 Februari 2016. Sejak Mahathir keluar Umno beliau bersama pengikutnya menyerang Najib secara terbuka dan ini menarik minat PH untuk memujuk Mahathir menyertai mereka.
24 Jun 2016 Muhyiddin dan Mukhriz dipecat dari Umno, manakala Shafie digantung. Ini menjadi pemula kepada gerakan mewujudkan satu parti serpihan Umno.
4 hari sebelum penubuhan parti baru Mahathir, perjumpaan kali pertama Anwar-Mahathir berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016. Selepas 18 tahun mereka berpisah iaitu mulai kes Liwat I, akhirnya Mahathir mendekati Anwar sebagai signal memohon restu untuk menyertai PH dalam tempoh terdekat.
Mahathir bersama Muhyiddin Yasin telah menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 9 Ogos 2016 dan pendaftaran pertubuhan (ROS) telah meluluskan pendaftaran parti ini pada 9 September 2016.
Pada 14 Mac 2017 PPBM pimpinan Mahathir akhirnya mengumumkan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk bersama DAP, PKR dan Amanah setelah gagal mengajak PAS untuk bekerjasama.
Ketika menghadiri Kongres Tahunan Nasional PKR pada 21 Mei 2017, Mahathir memerhatikan PKR mengumumkan Anwar sebagai calon PM ke 7 dengan senyuman.
Secara perlahan-lahan Mahathir mengukuhkan cengkamannya di dalam PH dan pada 14 Julai 2017 Mahathir diumumkan sebagai Pengerusi PH hanya 3 bulan selepas parti PPBM menyertai PH.
Tindak tanduk Mahathir ini sememangnya mengusarkan Anwar dipenjara dan Najib di Putrajaya. Walaupun PKR sudah mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke 7, namun kedudukan Mahathir sebagai Pengerusi PH memberikan signal yang merbahaya kepada Anwar.
Sepanjang Anwar bersama Pakatan Rakyat dahulu tidak pernah ada jawatan Pengerusi Pakatan, yang ada hanya jawatan Ketua Pembangkang. Bila ada Pengerusi Pakatan bermakna, orang yang memegang jawatan itu adalah calon paling utama untuk menjadi Perdana Menteri PH.
NAJIB DAN KONCONYA MEMULAI LANGKAH MENDEKATI ANWAR
Pada 17 November 2017, Najib bersama Rosmah secara tiba-tiba muncul di HKL melawat Anwar yang baru selesai menjalani pembedahan di bahu akibat kemalangan yang menimpanya pada 22 September 2017. Najib sempat merakamkan gambar selfie sempena lawatan itu yang tular dimedia sosial.
Keesokkan harinya, 18 November 2017 Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi bersama isteri pula hadir melawat Anwar. Urusan banduan dan Penjara adalah dibawah bidang kuasa Zahid.
Selepas itu Menteri Pelancongan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno hadir menziarahi Anwar di HKL pada 26 November 2017.
Kemunculan 3 pemimpin senior Umno secara berturut-turut ini menimbulkan pelbagai polemik. Ada yang mengatakan itu adalah strategi Najib dan konco-konconya untuk menunjukkan sifat prihatin. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa lawatan ini bukan lawatan biasa, kerana pemimpin-pemimpin ini tidak pernah melawat Anwar dipenjara atau pun di Hospital selama ini.
Ada yang mengatakan bahawa disebalik pertemuan ini, Najib hadir menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan Anwar setelah melihat pengaruh Mahathir turut mengancam kedudukan Anwar dalam PH. Kiranya mereka kini mempunyai common enemy untuk ditewaskan memandangkan peluang Anwar untuk jadi PM sangat tipis jika Mahathir menjadi PM, kerana Mahathir sertai pembangkang hanyalah untuk menjatuhkan Najib bukan untuk bebaskan Anwar.
Lim Guan Eng yang melihat tindak tanduk pemimpin Umno ini tidak duduk senang dan beliau juga tiba-tiba hadir mengunjungi Anwar pada 29 November 2017.
PENGUMUMAN ANWAR DIBEBASKAN
Pada 14 Disember 2017 Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad membuat pengumuman yang mengejutkan dengan mengatakan Anwar akan dibebaskan pada 2018. Walaupun tidak menyatakan tarikh namun ianya satu signal jelas bahawa satu keputusan telah dibuat selepas pertemuan Anwar-Najib sebelumnya dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.
Ini kerana, sepanjang tempoh dipenjarakan Anwar tidak pernah menerima sebarang pengampunan atau memohon parol.
Semasa Konvesyen Wanita PH pada 6 Januari 2018, Azizah akhirnya mengesahkan yang Anwar akan bebas pada 11 Jun 2018 tanpa menyatakan sebab dan bagaimana Awar boleh bebas awal sedangkan beliau sendiri tidak pernah memohon secara rasmi kepada pihak Kerajaan sebarang Parol.
Akhirnya, pada 7 Januari 2018 Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk seri Zulkifli Omar secara rasminya mengumumkan yang Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu 2 hari lebih awal dari tarikh yang dimaklumkan sebelumnya oleh Azizah.
Beliau juga mendedahkan bahawa Anwar dibebaskan bukan kerana pengampunan atau parol. Anwar dibebaskan atas perintah Peremitan Hukuman dibawah Seksyen 4 (1) Akta Penjara 1995 pindaan 2009 yang menyatakan:
"Dengan tujuan untuk menggalakkan kelakuan baik dan kerajinan dan untuk memudahkan pemerlakuan pemulihan, seseorang banduan yang dihukum penjara selama lebih daripada sebulan, adalah berhak diberi remitan daripada hukumannya."
Dalam bahasa mudah, peremitan adalah Pengurangan Tempoh Tahanan yang diputuskan oleh pihak berkuasa penjara selepas menilai kelakuan banduan. Dan dalam kes ini Anwar dikatakan berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan.
Tapi agak kontradik alasan ini kerana sebelum ini Anwar, banyak mengeluarkan kenyataan rasmi menghentam BN dan nota kenyataan itu berjaya melepasi tirai besi penjara walaupun Ketua Pengarah Penjara mengatakan itu sebagai satu kesalahan dan sebenarnya tidak pernah berlaku. Apa pun rakyat menjadi saksi bahawa banyak kenyataan Anwar tersebar sepanjang beliau dipenjarakan.
Jadi kenapa peremitan ini tiba-tiba berlaku untuk Anwar iaitu hampir 2 bulan selepas Najib menemui Anwar di HKL. Ini sesuatu yang luar biasa bagi orang yang dikategorikan sebagai tahanan politik yang sudah lebih 18 tahun melawan BN.
MAHATHIR TIDAK DIBENARKAN BERTEMU ANWAR
Setelah diumumkan sebagai calon Perdana Menteri PH dalam konvensyen PH pada 7 Januari 2018, Mahathir telah cuba mengunjungi Anwar di Hospital Rehabilitasi di Cheras pada 10 Januari 2018. Walaupun ditemani oleh Nurul Izzah, namun Mahathir dihalang bertemu dengan Anwar atas alasan tiada permohonan dibuat kepada pihak Jabatan Penjara.
Ini menimbulkan polemik kerana sebelum ini pemimpin lain boleh bertemu Anwar walaupun tiada permohonan rasmi. Mahathir menjelaskan yang beliau hanya perlukan 1 minit untuk ucapkan terima kasih kepada Anwar kerana merestui beliau sebagai calon PM PH.
Jika itulah tujuannya, maka polemik yang mengatakan Anwarlah sebenarnya yang tidak mahu menemui Mahathir kerana kecewa Mahathir merampas kerusi Perdana Menteri dari PKR adalah benar. Anwar pasti kecewa mengetahui berita ini dari mulut Mahathir sendiri, kerana sepanjang beliau ditahan tidak pernah pun Mahathir melawatnya di penjara mahu pun di Hospital. Kali terakhir mereka bertemu adalah pada 5 september 2016 iaitu ketika Mahathir belum ada parti baru dan belum menyertai PH. Itu pun pertemuan di mahkamah bukan dipenjara. Jadi macam tak kena, dah rampas kerusi calon PM baru dia muncul lagi selepas setahun lebih.
Dan pastinya perjumpaan mesra Anwar-Najib turut memberikan kesan pada hubungan Mahathir dan Anwar. Malah pengumuman pembebasan awal Anwar satu tamparan buat Mahathir, walaupun Anwar dijangka bebas selepas PRU-14. Pembebasan ini bukan mudah dilakukan jika tidak ada campurtangan Najib dan Zahid. Sama ada BN atau PH memerintah selepas PRU 14, Anwar pasti mempunyai perancangan semasa keluar nanti.
Tidak dinafikan, Anwar seorang yanglicik dan akan melakukan apa sahaja untuk bebas. Walaupun PH selalu sebut Anwar telah memaafkan Mahathir, itu mungkin dibibir. Didalam hati siapa yang tahu. Dipecat, difitnah, dibogelkan, dipukul, dimalukan, dipisahkan dengan keluarga dan dipenjarakan oleh Mahathir bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan begitu sahaja.
Ramai mengatakan Anwar berjiwa besar kerana maafkan Mahathir. Namun ramai yang lupa, Anwar sanggup lakukan apa sahaja untuk berkuasa dan menjatuhkan Mahathir termasuk dalam Langkah Kajang iaitu menukarkan Khalid Ibrahim seorang Menteri Besar yang terbaik pernah Selangor miliki.
CERITA HUBUNGAN ANWAR-NAJIB BUKAN BARU
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla mendedahkan bahawa, Sebelum PRU 2013 Anwar pernah memintanya menjadi broker untuk deal dengan Najib sekiranya keputusan PRU 13 memihak kepada Pakatan Rakyat dengan simple majoriti.
Walaupun kerjasama itu tidak terlaksana kerana kemenangan BN pada 2013 yang diluar dugaan Anwar, namun Anwar juga diberitakan cuba mengatur strategi untuk deal dengan Najib tentang kedudukan Umno di selangor semasa krisis Menteri Besar. Pada ketika itu, Anwar juga terdesak untuk bekerjasama dengan Najib bagi mengelakkan beliau dipenjara atas tuduhan Liwat 2.
Namun semua perancangan itu tidak berjaya. Malah Najib sebenarnya lebih licik membalas permainan Anwar. Ingat lagi, pada 2008 Anwar beria-ria umumkan 30 ahli Parlimen BN akan lompat sertai Pakatan pada 16 September. Tapi yang berlaku akhirnya Kerajaan Pakatan Perak tumbang pada 4 Februari 2009 apabila Najib berjaya pujuk 3 Adun PKR dan 1 Adun DAP keluar Parti.
Rekod ini membukti Najib lebih mampu mengubah nasib Anwar berbanding Mahathir dan orang-orang Anwar sendiri. Kelicikkan Najib untuk memanipulasikan kuasa dan kedudukan diambil peluang oleh Anwar untuk membebaskan dirinya untuk kembali melawan Mahathir.
Jika ini semua benar, maka sesuatu yang lebih menarik akan berlaku selepas 8 Jun 2018. Mungkin lebih awal dari itu kerana bunyi bising dari kartel Azmin kerana pencalonan Mahathir sebagai PM juga telah sampai ke telinga Anwar.
Apa pun permainan politik Anwar-Najib-Mahathir ini, yang bakal jadi mangsa adalah rakyat dan pengikut-pengikut mereka. Jika anda bijak, pilih pemimpin yang benar-benar jujur dalam memimpin dan memulihkan keadaan politik dinegara ini.
Herman Samsudeen
Kuala Lumpur
13 Januari 2017