Oleh: Nazman Che Iberahim
Kelihatan galak sangat beberapa pemuda parti oren menyindir kerajaan negeri yang kononnya sudah tidak berjuang untuk royalti minyak, tetapi giat menanam pokok kayu putih untuk minyak urut.
Tahukah mereka mahupun Adun Salor sendiri yang Eucalyptus akan menjadikan Kelantan antara negeri pengeluar kayu khas untuk pembuatan papan lapis (plywood)? Projek ladang hutan jenis Eucalyptus ini akan menghasilkan 'peeling venir' atau lapisan kayu untuk dijadikan papan lapis dan minyak kayu tersebut yang banyak khasiatnya hanyalah satu produk sampingan.
Bahkan, teruk sangatkah jika Kelantan mampu membekalkan bahan mentah untuk produk minyak urut dan minyak angin di negara ini? Adakah orang PAN jika terseliuh kaki, menyapu minyak diesel untuk mengurut? Ataupun jika anak kecil mereka kembung perut, mereka tidak menggunakan minyak Mestika, tetapi hanya menyapu minyak petrol ke tubuh anak mereka?
*Anak pokok 400,000 dan berapa luas diperlukan?*
Dato' Husam juga merisaukan luas kawasan tanaman untuk 400,000 anak benih seperti dalam tulisan awalnya sebelum ini, yang menyandarkan kepada rencana Utusan Online mengenai tanaman Eucalyptus tulisan Ahmad Zuhaidi Yahya, bertarikh 8 Februari 2017, yang menyebut jumlah anak pokok utk setiap hektar adalah 833 pokok. Ini pandangan penulis sahaja. Sedangkan amalan biasa untuk tanaman Eucalyptus bagi mendapatkan 'peeling venir' hanyalah 2m x 2m dengan kiraan 10000/2/2 akan membawa jumlah 2,500 pokok setiap hektar. Ia juga membawa maksud sekiranya 400,000 pokok "telah pun sampai" seperti dakwaan Dato', maka ia hanya akan mengambil ruang sebanyak 160 ha sahaja.
Eucalyptus Tiada Kesan Buruk?
Lalu gempitalah alam maya Facebook dengan laungan 'pejuang alam sekitar jadian' Kelantan akan bahayanya pokok Eucalyptus ini. Katanya ia akan menyebabkan sungai, tasik, mata air di hulu akan mengering kesan daripada akar pokok ini yang akan menyerap air jauh ke dalam perut bumi.
Disandarkan pula kepada keputusan mahkamah di India yang telah mengharamkan pokok ini di sana. Padahal, dari segi taburan hujan antara India dan Malaysia pun sudah banyak berbeza. Apatah lagi jaringan sungai sungai besar yang mengalir turun dari banyak jajaran gunung di Kelantan, Pahang dan Terengganu, yang tidak pernah kering sekalipun sebelum ini, dan ini amat jauh berbeza dengan India. Tahukah mereka bahawa Sungai Lebir dan Sungai Galas yang bertemu di Kuala Krai sehingga membentuk satu sungai baharu iaitu Sungai Kelantan sebenarnya adalah cantuman dan gabungan daripada puluhan sungai lain yang juga besar, jauh nun di hulu Kelantan?
Jadi, menakut-nakutkan rakyat dengan keringnya sungai dan tasik akibat tanaman eucalyptus amat melucukan sekali.
Dan sebetulnya, benarkah pokok ini menyerap air dengan kadar yang tinggi? Ya, ia adalah spesis pokok yang cepat membesar dan menggunakan air dengan cukup banyak, namun tidak akan menyebabkan kandungan air bawah tanah hutan asli terjejas. Apatah lagi di Malaysia yang mana taburan hujannya cukup tinggi. Bahkan jika dibandingkan dengan tanaman ladang hutan yang lain seperti Akasia dan Dalbergia Sissoo, pokok Eucalyptus lebih kurang menyerap air bawah tanah berbanding dua spesis tadi.
Sindir Kelantan keluarkan minyak kayu putih?
Ramai yang memperlekehkan usaha Kelantan bangunkan ladang hutan Eucalyptus. Katanya jual minyak urut.
Sebenarnya minyak kayu putih ini hanyalah bersifat 'by product' sahaja sedangkan hasil utama adalah untuk pembuatan papan lapis, 'chips' untuk penghasilan kertas, industri fiber, bahkan digunakan juga sebagai bahan utama untuk pintu, tingkap, lantai, perabot rumah dan bahan asas di kebun atau ladang.
Mengejutkan juga akan fakta bahawa negara China pada April 1989 sehingga Mac 1990, pernah mengeksport 171,000 meter padu 'chips' ke Oji Paper Cooperation di Jepun. Dan jumlah pengeluaran tahunan kayu Eucalyptus bagi negara komunis ini adalah sehingga 5 juta meter padu.
Dan mengejek penghasilan minyak kayu putih sebagai produk sampingan tanaman Eucalyptus adalah amat cetek sekali pandangannya. Di saat China telah mengeluarkan 2,000 tan setahun minyak kayu putih ini dan menjadikan pendapatan hasil minyak ini senilai 20% daripada jumlah keseluruhan tukaran asing negara China, kita baru mulai bertatih. Mereka sudah menjadi negara kedua pengusaha dan pengeluar kayu spesis ini selepas daripada Brazil.
China serius bangunkan Eucalyptus
Rombongan kerajaan Kelantan ke Nanning adalah satu tindakan yang tepat. China telah mengusahakan ladang hutan ini sejak awal 1900 dan kini terdapat 460,000 hektar tanaman Eucalyptus dengan jumlah pokoknya melebihi 1.5 billion batang. Sejak 1960, China membangunkan 10 ladang hutan Eucalyptus untuk memenuhi permintaan bidang pengangkutan keretapi negara mereka iaitu kayu pelapik landasan (railway sleepers).
Manakala di Pulau Hainan, penanaman Eucalyptus meliputi 100,000 ha tanah yang mana 80% daripadanya adalah untuk pembalakan dan selebihnya digunakan sebagai pokok perisai/penghadang daripada angin taufan.
Dan, lebih mengujakan di sekitar daerah Sichuan, pokok ini ditanam sekitar kampung dan kawasan perumahan, sepanjang jalanraya dan terusan atau sungai sebagai pokok yang ada nilai industri dan juga sebagai pokok perhiasan landskap.
Di selatan China pula, Eucalyptus digunakan secara meluas sebagai hutan perlindungan di sepanjang pesisiran pantai dan juga tebing tebing sungai besar. Banyak kajian menunjukkan pokok ini mampu menyerap kesan kemusnahan akibat taufan sehingga 80% seperti berlaku di Guandong. Dan di sungai Nanliu dalam kawasan Guangxi, ia ditanam di sepanjang 84km aliran tebing sungai lalu memberikan keselamatan kepada lebih 92,000 orang rakyat sekitar.
Pihak berkuasa tempatan di Yunnan pula menjadikan pokok Eucalyptus ini sebagai tanaman yang boleh memperbaiki komposisi tanah. Ketumpatan tanah dapat diperbaiki dan aliran serta pergerakan selut dan pasir dapat dikawal dengan wujudnya tanaman ini.
Semua ini menunjukkan bahawa tanaman Eucalyptus adalah satu produk yang bagus dan banyak yang boleh dipelajari oleh Kelantan di negara China.
Dan kajian oleh Universiti Putra Malaysia sebelum daripada ini di dalam pembentangan bertajuk "Potential of The Eucalyptus Plantation in Malaysia" juga ada menyebut bahawa kerajaan seharusnya menyokong industri penanaman Eucalyptus kerana ia dijangka akan berkembang sebagai spesis utama dan penting di negara ini.
Rujukan lanjut mengenai penanaman pokok ini dengan mengambil kira pengalaman oleh Research Institute of Tropical Forestry Chinese Academy of Forestry, Longdong, Guangzhou boleh dibaca di pautan berikut:
http://www.fao.org/docrep/005/AC772E/ac772e04.htm
Kesimpulan
Puak yang suka mengkritik kerajaan negeri perlu banyak membuat kerja rumah terlebih dahulu sebelum melemparkan tohmahan dan fitnah seperti sedia kala. Kalau dituduh kononnya kerajaan negeri hanya mahu 'memberi balak' semata mata kepada syarikat sekian dan sekian, tanpa dihadirkan bukti kukuh, ia hanya akan mengulangi sikap biasa sesetengah parti yang tiada idea untuk membangunkan ekonomi rakyat dan juga pembangunan negeri, akhirnya hanya pandai mengkritik.
Mereka tidak sedar bahawa projek tanaman Eucalyptus ini adalah untuk menghijaukan lagi bumi Kelantan. Memulihkan kawasan hutan miskin dan terosot.
Alhamdulillah seperti mana kata YAB Menteri Besar Kelantan, sehingga kini, Kelantan masih dilitupi kawasan berhutan seluas 53.7 peratus, yang mana 40 peratus darinya adalah Hutan Simpanan Kekal. Ini merupakan satu pencapaian yang dapat dibanggakan kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam aspek pemeliharaan, pengurusan dan pembangunan hutan secara profesional telah, sedang dan akan sentiasa teguh.
Dan bercakap mengenai kelestarian hutan, keseimbangan ekologi, kebaikan untuk alam sekitar, dan lain lainnya, Kelantan yang saban tahun terlibat dengan musim hujan dan banjir, penanaman Eucalyptus seperti ini yang boleh tumbuh subur di kawasan cerun dan kawasan kurang subur, ia sudah pasti akan berfungsi menghalang hakisan, memperkukuh struktur tanah dan mengurangkan kelajuan air deras. Ini semua telah terbukti dengan kajian dan pengalaman di banyak tempat yang melaksanakan projek tanaman Eucalyptus.
No comments
Post a Comment