KUALA LUMPUR: Myharakah Bazaar mengajak orang ramai dan para pemegang kad istiqamah Harakah berkunjung ke Karnival Jom Ke..MyHarakah Bazaar yang akan diadakan bermula pada 30 Januari sehingga 3 Februari setiap jam 9 pagi hingga 9 malam bertempat di hadapan Hospital KPJ Tawakal, Jalan Pahang Barat.
Karnival yang julung kalinya diadakan itu akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan, PAS Pusat.
Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada para pengunjung yang hadir antaranya aktiviti cabutan bertuah yang terbuka kepada kesemua pemegang kad istiqamah dan bagi mereka yang masih belum memiliki kad istiqamah boleh mendaftar bagi menyertai aktiviti cabutan bertuah.
Pengarah Karnival Jom Ke MyHarakah Bazaar, Mohd Shuhaimi Embong berkata antara tawaran menarik adalah pengunjung boleh mendapati pelbagai jenis judul buku dengan permulaan harga serendah RM2.
"Ada lebih kurang dua ribu judul buku daripada pelbagai penerbit antaranya PTS, Telaga Biru, Galeri Ilmu, Hijjaz, Inteam, Karya Bistari dan banyak lagi. Kita ada buku motivasi, agama, buku tulisan tokoh-tokoh terkemuka PAS, buku kanak-kanak, bendera PAS pun boleh didapati di sini.
Kita turut menjual produk halal seperti Kohilal yang dikeluarkan oleh Kelab Usahawan KuHaraki. Antaranya produk susu kambing Kohilal, jus kurma dan banyak lagi dan ahli kad istiqamah boleh tebus mata ganjaran di sini," katanya kepada Harakah.
Warga kota juga boleh mengambil kesempatan mengunjungi Karnival Jom Ke..MyHarakah Bazaar sempena cuti umum Hari Wilayah pada 1 Februari nanti.
Sebarang maklumat lanjut, para pengunjung boleh menghubungi di talian 03-40253525 atau 019 218 3070.
No comments
Post a Comment