TAWAU – Pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, rakyat Sabah akan berdepan musim ‘kemarau’ berpanjangan jika Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi perdana menteri.
Pairin yang juga timbalan ketua menteri Sabah berkata, Dr Mahathir pernah memegang tampuk kepimpinan negara selama 22 tahun dan sepanjang tempoh itu rakyat Sabah “tahu bagaimana rasanya” berada di bawah pemerintahan perdana menteri keempat itu.
"Dr Mahathir sudah pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan dalam ucapannya pada konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini, dia juga mengakui banyak kelemahan, banyak kesalahan dan meminta ampun kepada rakyat seluruh negara.
"Jadi kalau dia sudah menyatakan sedemikian, adakah logik lagi untuk kita menerima orang ini (Dr Mahathir) untuk jadi perdana menteri sekali lagi? Jelas tidak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek skim bekalan air Tawau Fasa Tiga yang melibatkan pembinaan empangan air pelbagai guna pertama di Sabah, di sini, hari ini.
Ahad lepas Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Pairin berkata, strategi itu juga merupakan langkah awal menunjukkan Pakatan Harapan tidak konsisten dengan laungan untuk memberi peluang kepada golongan muda memegang jawatan penting.
"Semua menyatakan bahawa orang muda mesti main peranan tertentu sebagai persediaan peralihan (kepimpinan) tetapi dalam hal ini, mereka (Pakatan Harapan) mengundur balik," katanya.
Pakatan Harapan turut mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen berkenaan iaitu PPBM (52), PKR (51) DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. - Bernama