NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekas MP harap ada rakan sudi jenguk



SHAH ALAM - "Sejak saya sakit hanya beberapa kerat sahaja rakan politik yang datang menjenguk saya, jika ada yang masih kenal bolehlah menziarahi saya, demikian luahan hati bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor (1999-2004-2008), Mohd Daud Tarihep kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor (2001-2004) kini berhadapan kanser usus tahap dua termasuk sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi menyebabkan dia tidak mampu bergerak aktif seperti dahulu.

Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser pada November tahun lepas, sebelum itu dia sentiasa sakit-sakit dan tidak mampu untuk bergerak normal seperti orang lain.

"Saya terpaksa membuat rawatan dialisis dan pelbagai rawatan lain hingga kos mencecah puluhan ribu ringgit bagi setiap rawatan.


"Saya bukan mahu menagih simpati sebaliknya memerlukan sokongan rakan-rakan selain ahli keluarga untuk berhadapan penyakit yang dilaluinya kini," katanya.

Pada masa sama, katanya, dia gembira kerana masih ada di kalangan rakan politik yang datang menziarah dan mengambil tahu keadaannya seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Irmohizam Ibrahim dan lain-lain.

"Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang masih ingat pada saya," katanya yang berusia 66 tahun.

Isterinya, Azifah Jins Jaafar, 44, berkata, dia sekeluarga kini bergantung harap kepada duit pencen suaminya selain hasil perniagaan kecil-kecilan yang dilakukannya.

"Sumber kewangan yang ada memang tidak cukup selain terpaksa menanggung empat anak yang masih di bangku sekolah.

"Saya mahu melihat suami kembali sihat seperti sediakala, saya harap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan suami," katanya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh salurkan sumbangan melalui nombor akaun 220631296171 (Bank Rakyat) atas nama Mohd Daud Tarihep.

© all rights reserved
made with by templateszoo