NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Awasi Projek 'Deal Of The Century Israel'.


Oleh: Abdul Mu'izz Muhammad

Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Masjid Al-Aqsa sempena Festival MyAqsa oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia merangkap Presiden PAS.
Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Masjid Al-Aqsa sempena Festival MyAqsa oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia merangkap Presiden PAS.
Posted by 1Media on Sunday, 28 January 2018

Di dalam ucapan perasmian berbahasa Arab oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi sewaktu sidang meja bulat Masjid al-Aqsa - Festival MyAqsa di Putrajaya, beliau menyentuh secara ringkas situasi Baitul Maqdis berdasarkan sejarah dan realiti ancaman mendatang hari ini.

Apa yang perlu diberi perhatian secara serius, TGHH menyebutkan ancaman terbaharu ke atas Baitul Maqdis yang dikenali sebagai 'Safqah Qurun', atau 'Deal Of The Century'.

Apakah Itu Deal Of The Century?

Ia merupakan projek besar ke arah perluasan negara Zionis yang dikenali sebagai Israel Raya. Perjanjian ini terbocor pada tahun lepas (2017) yang mendedahkan bahawa beberapa pimpinan negara Arab, antaranya Mesir & Saudi terlibat dalam perundingan tersebut yang mengagendakan kepentingan perluasan sempadan Israel. Dikatakan perancangan 'Deal Of The Century' itu disasarkan selama 8 tahun untuk dijayakan.

Dari Sungai Furat Ke Sungai Nil.

Mengapakah cita-cita Israel Raya semakin dilihat hampir terealisasi? Ekoran dari tragedi Arab Spring, memunculkan perang saudara sesama muslim Arab dan menjadikan negara serantau yang bersempadanan dengan Israel bergolak dengan dahsyat.

Hasil dari plot Arab Spring, kepentingan Palestin kian dipandang sepi kerana umat Islam telah dilencongkan fokus mereka untuk lebih memerhatikan isu-isu di negara lain.

Apa yang diisytiharkan oleh Thedor Herzl selaku pemimpin Zionis lebih 100 tahun lalu, bahawa mereka bercita-cita menguasai kawasan dari sungai Furat hingga ke sungai Nil untuk dibina wilayah Israel yang luas. Inilah bayangan kepada konflik berpanjangan yang berlaku hari ini, yang membabitkan negara-negara antara 2 batang sungai milik umat Islam terebut.


Perkembangan Kemaraan Israel.

Kini kita dapati agenda penubuhan negara Kurdistan Raya yang membabitkan keratan dari sebahagian Iraq, Syria dan Turki semakin berjaya. Contohnya kawasan-kawasan di Syria yang dahulunya dikuasai oleh ISIS, kini bertukar tangan kepada puak Kurdi. Mereka dibela oleh tuan yang sama, iaitu AS. Sekaligus kedudukan Kurdistan itu bakal menguasai pangkal sungai Furat dan Tigris yang merupakan nadi ikhtiar hidup di rantau tersebut. Netanyahu mengisytiharkan bahawa Israel mendukung aspirasi Kurdistan, kononnya demi mengulangi era keemasan bangsa Kurdi pimpinan Salahuddin Ayyubi satu ketika dahulu. Wayang yang lucu, namun cukup mengelirukan.

Sementara itu projek menguasai sungai Nil melalui pembinaan empangan Reinassance yang dibiayai oleh IMF di Ethiopia sedang berjalan. Ia dijangkakan siap 5 tahun lagi. Ethiopia merupakan sekutu kuat Israel. Penguasaan ke atas Nil ini pasti memberi masalah yang besar terutamanya ke atas Mesir selaku negara yang paling banyak bergantung dengan sumber air sungai tersebut.

Isyarat Dari Trump.

Pada akhir tahun lepas (2017), Trump bertegas mahu memindahkan kedutaan AS ke Baitul Maqdis. Selain dari melunaskan janji ketika pemilihan presiden AS yang lalu, Trump dilihat serius bagi menjayakan usaha penguasaan Israel ke atas Baitul Maqdis. Sementara itu terdapat cadangan dari AS agar dipindahkan penguasaan kedaulatan Palestin dari Timur Jurusalem ke Abu Dis. Ini diikuti sokongan dari pemimpin negara-negara Arab yang sanggup bersekongkol dengan Israel.


Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ada menceritakan bahawa dahulu Theodor Herzl sendiri yang menawarkan rasuah kepada Sultan Abdul Hamid II agar Uthmaniyyah menyerahkan sebahagian Palestin kepada Zionis. Sultan menolak pelawaan tersebut dengan tegas.

Kini 100 tahun selepas itu, ada pula segelintir pemimpin-pemimpin Arab yang tidak berjatidiri berperanan memujuk Palestin dengan rasuah berbilion dollar agar mengalah dan bersetuju dengan plan pemindahan keluar dari Jurusalem. Buat masa ini pemimpin Palestin samada dari kumpulan Islam mahupun sekular, tegas menolak plan jahat tersebut.

Kita Perlu Serius Untuk Sedar.

Betapa segala apa yang telah dan sedang berlaku ke atas dunia Islam hari ini amat berkait dengan kepentingan agenda Israel. Mereka meniupkan api sektarian mazhab untuk menjayakan perang saudara sesama ahli kiblat. Secara langsung konflik tersebut meranapkan negara- negara umat Islam di rantau yang bersempadanan dengan Israel. Kesannya, Israel kini semakin selesa ke arah menjayakan cita-cita Israel Raya mereka.

Kita perlu sedar bahawa sejak Arab Spring, kita sebagai umat Islam telah terlalai dari memikirkan soal Baitul Maqdis.


________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo