NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Api Radikal Evangelis Bakal Marak! Gunakan Undang-Undang Sedia Ada – Gesa CEO IKSIM



Putrajaya: Kerajaan harus bertegas dalam mengekang gerakan Radical Evangelist for Christian State (RECS) dilihat semakin berani melebarkan gerakan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian negara.


Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) menegaskan perkara tersebut semasa sesi pembentangan di Putrajaya International Security Dialogue (PISD) yang berlangsung bermula 4 hingga 6 Januari 2018 di Hotel Marriot Putrajaya.

“Kerajaan harus mengambil sikap untuk bertindak dari peringkat awal. Cegah masalah ini sebelum ini menjadi parah. Ambil tindakan semasa masalah ini masih diperingkat kecil. Kita ada undang-undang. Act on it and don’t sleep on it!” tegas Dato’ Mahamad Naser semasa menjawab persoalan daripada peserta sesi dialog tersebut.”

“Malaysia sebenarnya sudah ada cukup undang-undang yang bersifat mencegah yang sebenarnya boleh digunakan ke atas gerakan-gerakan radikal seperti RECS seperti Bab VI di dalam Kanun Keseksaan. Kita tak perlukan undang-undang baru. Undang-undang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk membantu kerajaan mengekang gerakan-gerakan radikal ini. Tetapi malangnya, undang-undang ini dilihat tidak dijalankan secara efisien. Perbuatan dan tindakan yang seolah-olah mencabar kuasa dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong semakin menjadi-jadi di dalam negara. Ia termasuk yang dihasut oleh gerakan RECS ini.


Hasutan Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia di atas sentimen agama sedang dimainkan. Hasutan untuk menakluk dan mengubah negara ini menjadi sebuah negara Kristian oleh kumpulan-kumpulan radikal ini juga sedang berlaku di dalam negara.


Semua ini merupakan satu bentuk kesalahan yang harus diambil tindakan. Tetapi malangnya pihak berkuasa tidak memandang semua ini sebagai ‘acts against national security’ atau ‘waging war against the Yang di-Pertuan Agong yang boleh disabitkan di bawah 121 B Kanun Keseksaan.”

Menjawab persoalan wartawan Menara.my selepas sesi pembentangan, kenapa CEO IKSIM memilih untuk memberikan penekanan kepada ancaman kumpulan RECS ini, beliau menjelaskan bahawa semua pihak harus faham bahawa punca kepada kebangkitan terorisme dunia yang sedang bersarang di Timur Tengah, bermula dengan perkembangan dan kebangkitan kumpulan radikal evangelis di Amerika Syarikat. Apabila sentimen agama digunakan oleh kumpulan-kumpulan pelobi dengan kepentingan komersil tertentu, maka bermulalah satu era di mana presiden-presiden seperti George W Bush menggunakan alasan-alasan agama untuk menjustifikasikan tindakan negaranya dalam polisi-polisi luar yang berakhir dengan peperangan tidak berkesudahan di Timur Tengah. Negara-negara Islam di Timur Tengah jatuh satu persatu.

Tiada sistem kenegaraan yang benar-benar berfungsi dapat diwujudkan sejak kejatuhan pemimpin-pemimpin tersebut. Ia mewujudkan vakum pemerintahan.

Kumpulan-kumpulan pengganas muncul atas agenda pembiaya gerakan masing-masing. Umat Islam yang telah dinafikan hak mereka untuk mempunyai negara berdaulat mengikut acuan yang mereka kehendaki, melihat kumpulan-kumpulan ini sebagai remedi yang boleh membantu mereka mencapai cita-cita tersebut.

Timur Tengah kekal tidak aman dan keadaan semakin hari semakin parah.

“Isu keselamatan dunia semakin rumit apabila Presiden Amerika Donald Trump memegang tampuk pemerintahan.


Pengumumannya yang mengiktiraf Baitul Muqaddis sebagai ibu negara untuk Israel, akan menjadikan keadaan masalah terorisme dunia semakin parah.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati di seluruh dunia. Di Malaysia kumpulan Radikal Evangelis turut membawa agenda yang sama mengenai Jerusalem sebagai ibu negara Israel.


Program bersifat provokasi Jerusalem Jubilee telah diadakan beberapa kali sebelum ini sebelum dibatalkan kerana NGO Islam dan Ketua Menteri Melaka membuat laporan polis. Tetapi, apa yang berlaku dengan laporan polis tersebut? Sepertimana yang saya cakap tadi, kita ada undang-undang, kita ada pihak berkuasa yang diamanahkan untuk menjalankan undang-undang, kenapa seolah-olah laporan polis ke atas kumpulan-kumpulan RECS seperti ini tidak mendapat perhatian dan tindakan wajar?

Apakah kita hendak tunggu sehingga benar-benar gerakan ini bertindak ganas dan mengundang pula respons ganas dari umat Islam baru kita hendak bertindak? Apakah kita hendak tunggu sehingga gerakan Sabah dan Sarawak keluar Malaysia menjadi begitu kuat atas sentimen agama yang dimainkan baru kita hendak mula bergerak?”

Dan terbaru menurut Dato’ Mahamad Naser, perkembangan isu antarabangsa di mana Pakistan memberikan tempoh 30 hari untuk semua pelarian yang berlindung di Pakistan untuk keluar dari negara tersebut setelah diugut Presiden Trump.


Menurutnya, tindakan ini akan memberikan kesan secara tidak langsung kepada Malaysia. Malaysia mungkin akan menjadi sasaran influks kemasukan pelarian-pelarian yang memilih kita sebagai negara baru untuk berlindung dan juga yang memilih Malaysia sebagai negara transit sementara untuk mereka pergi ke negara ketiga.

Kita tidak tahu siapa dan apa ideologi pemikiran yang datang bersama mereka.


“Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai sebab untuk kumpulan-kumpulan ini gunakan sebagai alasan untuk melancarkan tindakan subversif mereka. Selain dari mengekang kemungkinan kemasukan mereka-mereka ini, kita juga mesti pastikan semua perkara yang boleh menjadi punca yang digunakan sebagai alasan tindakan subversif ini dihapuskan menurut undang-undang sedia ada. Tiada siapa akan mendapat apa-apa untung apabila negara dalam keadaan huru hara. Peringatan saya, undang-undang kalau tidur, pengganas akan seronok berjaga.”

Sumber: https://www.menara.my/api-radikal-evangelis-bakal-marak-gunakan-undang-undang-sedia-ada-gesa-ceo-iksim/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo