NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun Mahathir calon perdana menteri pilihan PKR?


Kuala Lumpur: Tiada sebarang persetujuan dicapai dalam mesyuarat biro mengenai siapa calon perdana menteri pilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), seperti mana yang dilaporkan dalam sebuah portal berita hari ini, kata naib presidennya Chua Tian Chuang, atau lebih dikenali sebagai Tian Chua.

Menurut ahli parlimen Batu itu, laporan itu dianggap mencurigakan kerana beliau tidak tahu siapa sumber yang dipetik, serta apa tujuan sebenar individu itu mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal berita itu.

“Perkara ini tiada dalam pengetahuan saya. Saya tidak tahu siapa sumber itu dan sejauh mana keaslian (laporan) itu,” katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, hari ini.

Hari ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan, Biro Politik PKR bersetuju dengan cadangan menjadikan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara, dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya, seandainya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum nanti.

Namun, laporan itu turut menyebut, persetujuan itu datang dengan syarat, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara dalam tempoh enam hingga 12 bulan gabungan pembangkang itu berkuasa.

Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bermula 2015, atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

Ditanya sekiranya perkara itu dibincangkan pada mesyuarat biro politik pada 19 Disember lepas, Tian Chua akui ia antara kandungan mesyuarat, namun tiada sebarang persetujuan dicapai.

“Saya tidak tahu apa tujuan sebenar individu yang dikatakan sumber itu. Mungkin hanya untuk memaksa PKR membuat keputusan cepat (mengenai calon perdana menteri),” katanya lagi.--AstroAwani
© all rights reserved
made with by templateszoo