Kawan-kawan selalu berseloroh sebaik sahaja kami mengadap meja makan selepas mesyuarat malam.
“Doktor marah makan malam...”
“Doktor pun makan juga...” sampuk seorang lagi rakan.
Kemudian kami sama-sama ketawa sambil menikmati juadah lewat malam. Biasanya makanan kegemaran adalah sup tulang, sup belut, telur dadar, kailan ikan masin dan lamb chop.
Adakah benar makan lewat malam membahayakan kesihatan?
Pakar pemakanan Adele Davis pernah mengeluarkan satu nasihat popular “eat breakfast like a king, lunch like a prince and dinner like a pauper.” Bermaksud: Sarapan pagi (saiznya) seperti raja, makan tengahari seperti permaisuri dan makan malam seperti si miskin. Mungkin nasihat ini juga memberi gambaran kepada kita bahawa makan malam itu perlu sedikit jumlahnya, hidangan di awal pagi bersaiz besar kerana tumpuan tenaga untuk digunakan sepanjang hari bekerja. Tetapi bilakah waktu sesuai makan malam si miskin itu? Awal malam atau lewat malam?
Sempat saya membaca beberapa tulisan jurnal berkaitan kesan makan lewat malam ini.
Jurnal Obesity membuat satu laporan kajian ke atas tikus perbandingan antara pengambilan kalori harian berlebihan atau makan berlebihan di waktu malam yang memberi impak kepada kenaikan berat badan.[1] Para pengkaji dari Universiti Northwestern itu mendapati makan malam berlebihan penyebab dua kali ganda kegemukan walaupun jumlah kalori seharian sama. Kajian sama tidak diteruskan ke atas manusia kerana tidak kena dari sudut etika. Manusia mana sanggup jadi subjek kajian menjadi gemuk? Umum mengetahui bahawa gemuk itu berisiko apa sahaja penyakit.
Majoriti pakar pemakanan menggunakan konsep keluar masuk kalori bagi menentukan pengurusan berat badan. Julat normal kalori bagi lelaki adalah sekitar 1800 - 2000 kcal, manakala wanita 1500 - 1800 kcal. Bagi individu yang berpenyakit seperti kencing manis disarankan hanya 1300 kcal sahaja. Jika kalori yang kita makan seharian tidak digunakan untuk tenaga pergerakan seoptima mungkin, lebihan kalori tadi akan disimpan.[2]
Oleh yang demikian kita akan semakin gemuk. Justeru pengambilan kalori makanan ini perlu diambil perhatian khusus. Tambahan pula kajian di atas tadi mengaitkan makan lewat malam penyebab kegemukan. Mungkin antara alasan berlaku demikian kerana kalori yang besar diambil lewat malam itu tidak dibakar sebagai tenaga. Maklumlah lepas makan lewat malam, terus balik tidur. Proses penyimpanan lemak dan Kolesterol berlaku pada waktu tidur. Dicadangkan waktu makan malam lebih awal seboleh-bolehnya 3-4 jam sebelum waktu tidur. Kaedah ini memberi kerehatan kepada perut untuk memproses makanan berat yang di ambil terutamanya bagi pesakit yang sukar menghadam atau gastitis. Persatuan Jantung Amerika juga menyokong waktu di awalkan. Walaupun kajian tidak konklusif mengaitkan makan lewat malam punca penyakit kardiovaskular, tetapi masa makan ini penting bagi mengelakkan kemungkinan risiko yang lebih teruk berlaku.[3]
Andaikata kita mahu makan lewat malam, rancang awal pada hari tersebut supaya jumlah kalori tidak melebihi yang disarankan.[4]
Sekian dulu nota keinsafan dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
19.12.2017
Gua Musang
Pautan
[1] Arble, D., Obesity, online Sept. 3, 2009. Weight Control Information Network web site: “Weight Loss and Nutrition Myths.”
[2] Mitos makan malam? https://www.webmd.com/diet/features/diet-truth-myth-eating-night-causes-weight-gain
[3] Sakit jantung dan waktu makan. http://circ.ahajournals.org/content/circulationaha/135/9/e96.full.pdf
[4] Perspektif lama dan baru kiraan kalori dan makan malam. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4425165/