KESEIMBANGAN
jantina diperjuangkan Islam telah diamalkan oleh kerajaan terutama
dalam aspek pendidikan. Perkara ini sepatutnya diperakui dan disyukuri
wanita di negara ini.
Wanita Malaysia amat bertuah jika
dibandingkan dengan wanita di negara Islam lain yang masih lagi
dibelenggu tradisi masyarakat jumuk dan mengabaikan keseimbangan jantina
dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan seumpamanya.
Konsep keterbukaan dan kesederhanaan dalam
sistem pentadbiran dan pemerintahan negara memberi peluang kepada ramai
wanita di negara ini menuntut ilmu dalam pelbagai bidang seiring lelaki
sehingga mereka mampu meletakkan diri setaraf dengan kaum Adam.
Apabila
wanita memiliki kebolehan dan kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu
pengetahuan maka persoalan sama ada wanita layak menjadi pemimpin atau
pembuat dasar negara tidak dijadikan sebagai satu isu penting yang perlu
diperdebatkan seperti mana berlaku di negara-negara Islam yang masih
lagi mengamalkan konsep diskriminasi jantina.
Kebolehan
dan kepakaran wanita sepatutnya diiktiraf dan diberi peluang untuk
menjawat sebarang jawatan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan,
pengalaman dan ketekunan mereka melaksanakan tugas untuk masyarakat dan
negara.
Sikap membelakangi hak wanita yang
mempunyai kebolehan dan kepakaran merupakan satu kerugian besar kepada
negara kerana wanita intelek dan profesional adalah individu-individu
yang dilatih dan dididik, sama ada menuntut di dalam negara atau luar
negara.
Pengalaman dan pengetahuan mereka
sepatutnya disumbangkan kepada negara secara melantik mereka menjadi
pemimpin atau pembuat dasar negara.
Wanita-wanita
yang didedahkan dengan sistem pendidikan komprehensif mampu untuk
mengendalikan urusan kerajaan dan negara kerana ilmu pengetahuan dan
pengalaman mereka berkhidmat dengan masyarakat dan negara membolehkan
mereka memimpin negara.
Terdapat ramai
wanita mempunyai kepakaran dalam kepimpinan dan pentadbiran tetapi
kebolehan mereka kurang ditampilkan kerana sikap kronisme masih lagi
wujud dalam minda para pentadbir dan pemimpin kerajaan.
Cara
pemilihan wanita untuk menjadi senator dan pembuat dasar sering
tersasar daripada konsep pemilihan individu yang layak dan kualiti.
Sikap
terlalu taksub kepada puak dalam parti politik dan populariti
individu-individu tertentu tanpa meneliti kebolehan dan kecekapan dalam
aspek kepimpinan dan pentadbiran sering dijadikan sebagai cara untuk
melantik wanita sebagai senator dan pembuat dasar. Ini adalah salah
satu faktor ramai wanita intelek dan profesional tersisih daripada
pemilihan sepatutnya dijawat mereka.
Sikap
begini bukan sahaja menyebabkan dasar negara tidak dapat dilaksanakan
secara komprehensif kerana individu-individu dilantik itu tidak layak
malah juga boleh menjatuhkan maruah wanita dengan kelemahan ditonjolkan
golongan wanita tersebut kurang meyakinkan masyarakat terhadap kebolehan
wanita dalam kepimpinan.
Wanita yang tidak
mempunyai kepakaran dan pengalaman sewajarnya jika dilantik menjadi
senator atau pembuat dasar negara boleh menyebabkan sistem kepimpinan
negara menjadi lemah. Wanita dalam negara ini amat berbangga jika ramai
dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan dilantik menjadi senator
dan pembuat dasar kerana kejayaan dan ketekunan mereka dalam
perkhidmatan negara boleh menaikkan taraf wanita setanding dengan
lelaki.
Pemilihan wanita untuk jawatan
senator bagi mewakili kerajaan memerintah sepatutnya dipilih dalam
kalangan wanita profesional dan intelek yang mempunyai pengalaman luas
dalam hal ehwal pentadbiran dan penglibatan mereka dalam kegiatan
kemasyarakatan.
Wanita-wanita intelek yang
tidak melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan kurang mampu untuk
menyuarakan keluh kesah rakyat kerana corak kehidupan mereka lebih
tertumpu kepada perkara-perkara berkaitan dengan tugas harian mereka di
pejabat.
Oleh itu kriteria untuk memilih
senator dan pembuat dasar negara sepatutnya dikaji latar belakang dan
pengalaman mereka secara terperinci terlebih dahulu supaya pemilihan
dibuat bertepatan dengan hasrat dan keinginan pucuk pimpinan negara.
Pemilihan
senator yang hanya berdasarkan kepada populariti wanita sering
mengundang permasalahan apabila wanita tersebut gagal menunaikan tugas.
Perkara
berkaitan dengan kepimpinan dan pentadbiran adalah satu tugas paling
berat. Hanya wanita-wanita lasak dan mempunyai kekuatan mental dan
spiritual yang mampu menanggung tugas tersebut.
Tanpa
pengalaman dan penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan maka tidak
mungkin wanita mampu untuk menanggung tugas berat itu.
Oleh itu dalam pemilihan wanita sebagai senator dan sebagainya sepatutnya berdasarkan kepada kualiti bukan kuantiti.
Wanita
yang mempunyai daya keintelektualan tinggi dan memahami betapa beratnya
tanggungjawab sebagai pemimpin tidak akan menjawat jawatan tersebut
sebagai batu loncatan untuk memperkayakan diri dan memiliki kuasa kerana
padahnya amat besar akan dihadapi di hari akhirat.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabda baginda:
“Sesiapa
yang dianugerahkan Allah sebagai pemimpin, tetapi dia tidak berbuat
sesuatu untuk kebaikan umatnya (malahan sebaliknya menipu dan menzalimi
umatnya), Allah mengharamkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari).
Berdasarkan
kepada penjelasan tersebut, maka wanita-wanita Islam cuba sebaik
mungkin berkhidmat kepada masyarakat dan negara apabila mereka dilantik
menjadi senator dan pembuat dasar negara supaya mereka mendapat ganjaran
yang baik dari Allah dan jasa mereka dikenang oleh masyarakat.
PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan
Agama, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).