NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAP: Deklarasi Setapak bukti Kit Siang mahu jadi PM

Deklarasi Setapak 1967

GEORGETOWN: Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor, mendakwa Deklarasi Setapak 1967 membuktikan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang sudah lama memasang impian untuk menjadi Perdana Menteri.

Zulkifli yang juga Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), berkata antara 15 perkara dalam deklarasi itu termasuk menolak Bumiputera di negara ini dengan melaksanakan kebebasan, demokratik dan sosialis berdasarkan prinsip kesamarataan kaum serta keadilan sosial dan ekonomi.

"Apabila Deklarasi Setapak diumumkan, di situ kita sudah nampak perancangan DAP selama ini adalah untuk menolak Bumiputera selain merancang mahu menjadikan pemimpin bukan Bumiputera sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya mentadbir negara.

Sumber: https://dapmalaysia.org/parti/matlamat/deklarasi-parti/deklarasi-setapak/


"Tambahan pula, kita lihat perjuangan Kit Siang yang begitu panjang dalam politik termasuk bersama DAP hampir 50 tahun selain menjadi Ahli Parlimen paling lama iaitu sejak beliau berumur 28 tahun.

"Mengapa hingga kini Kit Siang enggan bersara daripada politik? Saya percaya ia mungkin ada kaitan dengan cita-citanya yang belum kesampaian, untuk menjadi Perdana Menteri.

"Sekurang-kurangnya memberi laluan kepada anaknya, Guan Eng untuk menjawat jawatan berkenaan," katanya yang berjuang bersama DAP selama 26 tahun, ketika dihubungi BH, hari ini.

Zulkifli yang meletak jawatan dalam DAP pada 2013 susulan pemilihan penuh kontroversi parti berkenaan sebelum menubuhkan PAP pada 2014.

Kelmarin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Jawi, Tan Beng Huat, mengakui sikap Kit Siang dan anaknya, Guan Eng sebagai punca beliau meninggalkan parti yang disertainya lebih 10 tahun lalu.

Beng Huat yang berkhidmat sebagai ADUN selama satu penggal mulai 2008 berkata, beliau melihat Kit Siang cuba membina 'dinasti keluarga' dalam parti itu sehingga timbul pelbagai isu dan masalah.

Bekas ADUN DAP itu juga mendakwa, terdapat 'cakap-cakap' di dalam DAP bahawa Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan berniat demikian.

PRESIDEN Parti Alternatif Rakyat (PAP), Zulkifli Mohd Noor.


Sementara itu, Zulkifli mendakwa, Kit Siang adalah pemimpin bercita-cita tinggi termasuk memasang impian untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi Agenda Tanjong III yang diilhamkannya pada 1986, namun gagal.

"Apabila Agenda Tanjong III yang dibawanya gagal, beliau meninggalkan Pulau Pinang dan membawa masuk anaknya untuk dijadikan Ketua Menteri dan ternyata usahanya berjaya.

"Jadi, tidak mustahil perkara sama akan dilakukannya di peringkat Pusat. Jika tidak, mengapa Kit Siang sanggup membelakangkan prinsipnya dan bekerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mereka bekerjasama sedangkan umum tahu kedua-dua individu itu adalah musuh ketat politik sebelum ini. Malah perkara itu (kerjasama) juga tidak boleh diterima kebanyakan ahli DAP," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2017/12/361653/deklarasi-setapak-bukti-kit-siang-mahu-jadi-pm
© all rights reserved
made with by templateszoo