NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN 3 Januari



Dewan Tertinggi BN dijangka mengadakan satu “mesyuarat khas" pada 3 Januari ini bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), lapor Berita Harian. 

Memetik sumber, akhbar itu berkata mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan calon 'boleh menang' dan disenangi rakyat pada peringkat akar umbi yang bakal dikemukakan oleh setiap parti komponen. 

"Ya, ...memang betul ada jemputan untuk menghadiri mesyuarat tertinggi BN dan saya pasti ia juga diterima parti komponen lain dari Sabah," kata sumber dari Parti Bersatu Sabah (PBS) pula. 

Sumber lain pula berkata perkembangan terbaru itu menguatkan lagi spekulasi berhubung PRU-14 diadakan pada awal tahun depan, dengan Parlimen dijangka dibubarkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut pada pertengahan Februari. 

Beberapa pemimpin BN memberitahu mesyuarat khas di PWTC itu pada asalnya dijadualkan pada 12 Disember. Namun ia terpaksa ditunda ke tarikh baru atas sebab tidak dapat dielakkan.

Ia termasuk jadual ketat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah pengerusi BN, berikutan siri lawatan rasminya ke Turki, selain Sri Lanka dan Maldives, baru-baru ini. 

"Difahamkan, mesyuarat itu juga bagi mengemas kini persiapan menghadapi PRU-14 yang dijangka diadakan pada suku pertama tahun depan, terutama memperkukuhkan jentera di peringkat akar umbi," kata sumber itu. 

Menurut akhbar itu lagi, amat jarang BN mengadakan mesyuarat khas kecuali bagi membincangkan PRU-14. Semua 13 parti komponen adalah ahli Dewan Tertinggi BN.


© all rights reserved
made with by templateszoo