NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa kalau Islam tidak boleh?


BANYAK kalangan yang tidak faham, bahkan jahil bahawa bernegara dan berpolitik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam atau mereka sengaja mahu memusuhi Islam. Semuanya menuding jari terhadap PAS kerana beristiqamah menegaskan Islamnya. Alasannya bahawa Islam tidak relevan bersama masyarakat majmuk, tidak mampu berlaku adil terhadap bukan Islam, atau mereka mahu Islam ini tunduk di bawah hukum hawa nafsunya dengan meninggalkan hukum Allah. Mereka boleh menerima hakikat amalan negara sekular yang berbagai ideologi, memisahkan politik daripada agama, dan beragama tanpa politik.

Apabila semua parti yang menegakkan ideologi masing-masing kalau memerintah negara, tidak memberi tempat dan kedudukan ketua kerajaan dan anggota kabinetnya kepada yang bukan parti mereka. Maka kalau parti Islam dikira salah, fanatik dan pelampau apabila menegaskan bahawa kepimpinan negara wajib bersyaratkan Islam.

Di Amerika contohnya, apabila Parti Demokrat menang, Presiden adalah daripada partinya, maka anggota kabinet, ketua jabatan dan jawatan penting yang menyentuh dasar dan polisi negara mestilah daripada kalangan partinya juga, bukan daripada Parti Republikan. Begitulah juga sebaliknya kalau Republikan yang menang, kalangannya juga menjadi ketua kerajaan. Inilah amalan di semua Negara Eropah seperti England, Perancis dan lain-lain yang paling demokratik, menyerahkan kuasa kepada parti yang menang dalam pilihan raya. Begitu juga di Negara Komunis melantik penganut ideologinya memimpin negara, mereka tidak melantik bukan Komunis menjadi ketua negara dan anggota kabinet.

Samalah juga apabila BN menang di Malaysia, maka dipilih kalangan parti terasnya, Umno Melayu Muslim menjadi ketua kerajaan pusat dan negeri, kabinet dan anggota exconya daripada Parti Komponen BN. Begitu juga apabila DAP menang terbanyak di Pulau Pinang, atau kalau menang di peringkat kerajaan pusat, mestilah berkonsepkan Malaysian Malaysia berteraskan sekularismanya.

Namun sebaliknya PAS pula dituding dengan jari secara hentaman melulu akan menafikan hak penganut bukan Islam, perkauman dan lain-lain, tanpa mengkaji Fiqh Politik Islam secara ilmu daripada sumber ajaran Islam yang sahih, bukan daripada musuhnya kalangan Orientalis yang bersikap tidak adil dalam ilmunya.

Islam itu lebih luas daripada takrif agama mengikut kefahaman Barat. Islam juga berbeza dengan ideologi atau teori ciptaan manusia yang memisahkannya daripada agama, kerana ajaran Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan bermasyarakat termasuk juga urusan politik.

Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka.

Islam mengurus secara lebih saksama dengan fitrah manusia, dengan syarat Islam sebenarnya berkuasa memerintah. Namun Islam juga tetap memelihara hak beragama lain tanpa menyentuh perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing dengan sempadan memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan perikemanusiaannya.

Islam bukan sahaja memberi hak kerakyatan kepada bukan Islam, bahkan mewajibkan adil terhadap semua dari segi hak rakyat yang dilindungi oleh undang-undang berteraskan aqidah dan juga hak kemanusiaan yang berkait dengan diri, keluarga, cara hidup berpolitik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain dengan kawalan sempadan (hudud) yang menghormati perbezaan agama dan menjaga keharmonian dan perpaduan kemanusiaan.

Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat.

Para ulama Fiqh Politik Islam, di antaranya Al-Mawardi mengharuskan perlantikan bukan Islam dalam jawatan Wazir Al-Tanfiz (menteri atau ahli kabinet yang melaksanakan pengurusan), bukan Wazir Al-Tafwid (membuat polisi dan dasar negara). Di sini adanya keanjalan dalam Sistem Politik Islam yang tidak fanatik kepartian seperti pendukung ideologi sekular.

PAS yang menegaskan kedudukan Islam dalam perlembagaannya menerima kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan menerima konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggaknya, menerima juga kaum bukan Islam menjadi warganegara berkonsepkan saudara kemanusiaan, walaupun dibawa masuk oleh penjajah terdahulu. Namun PAS tetap menolak konsep sekular warisan penjajah kerana bercanggah dengan Islam yang diletakkan di dalam Perlembagan negara kita yang sudah merdeka.

Al-Quran mengizinkan dua sistem pemerintahan sama ada Khilafah atau Malakiyyah (beraja), yang disebut juga Imamah atau Imarah, dengan wajib berkonsepkan adil terhadap semua manusia. Al-Quran mengisahkan Nabi Daud A.S adalah Khilafah dan Nabi Sulaiman A.S dan Zulqarnain pula adalah Raja. Syaratnya berlaku adil mengikut hukum Allah.

Rasulullah S.A.W telah menunjukkan penafsiran dasar yang umum terhadap perlantikan ketua negara berteraskan Islam yang teguh dan menerima konsep dominasi kaum. Sabda Baginda S.A.W:

Ų§Ł„Ų£Ų¦Ł…Ų© Ł…Ł† Ł‚Ų±ŁŠŲ“

“Imam (pemimpin atau ketua negara) hendaklah daripada Quraisy.” (Hadis Sahih diriwayatkan oleh Al-Baihaqi)

Ibnu Khaldun dan lain-lain menafsirkan mafhumnya dengan kaum yang menganut Islam berdominan. Maka kerajaan Islam tidak fanatik perkauman dalam menentukan ketua negara. Dalam sejarah, pernah Negara Islam dipimpin oleh bangsa Kurdis, Turki bukan daripada bangsa Arab apabila adanya kaum yang paling dominan menganut Islam lebih besar dan kuat pengaruhnya mengatasi bangsa Arab.

Maka dalam konteks Malaysia, PAS menafsirkan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam menjadi agama negara, bukan sahaja sekadar simbol, maka mestilah ditadbir negara berkonsepkan Islam yang melantik ketua negara daripada penganut Islam dan Bumiputera Melayu yang beriman dan budiman melaksanakan Islam secara menyeluruh.

Ini bukan semestinya PAS menjadi ketua kerajaan, bahkan PAS boleh terus menjadi pembangkang yang menasihat dan berta’awun dengan ketua negara yang boleh menerima Islam, sama ada kerajaan parti atau kerajaan teknokrat yang boleh diatur perubahannya yang lebih positif, bukannya perubahan dan pindaan Perlembagaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti tikus membaiki labu.

Apabila mengkaji Sirah Nabawiyyah menunjukkan Raja Habsyah bergelar Najasyi menerima Islam dan menjadi penganutnya, maka Rasulullah S.A.W mengekalkan takhtanya. Begitu juga kedudukan Raja Oman dan Raja Bahrain yang menganut Islam setelah menerima surat Rasulullah S.A.W, semuanya tidak dipecat atau dijatuhkan takhtanya.

Al-Quran juga mengisahkan Rasul kalangan Bani Israel di zamannya melantik Talut menjadi raja, tanpa Rasul itu sendiri menjadi raja. Firman Allah S.W.T:

ŁˆَŁ‚َŲ§Ł„َ Ł„َŁ‡ُŁ…ۡ Ł†َŲØِŁŠُّŁ‡ُŁ…ۡ Ų„ِŁ†َّ Ł±Ł„Ł„َّŁ‡َ Ł‚َŲÆۡ ŲØَŲ¹َŲ«َ Ł„َŁƒُŁ…ۡ Ų·َŲ§Ł„ُŁˆŲŖَ Ł…َŁ„ِŁƒٗŲ§ۚ Ł‚َŲ§Ł„ُŁˆٓŲ§ْ Ų£َŁ†َّŁ‰ٰ ŁŠَŁƒُŁˆŁ†ُ Ł„َŁ‡ُ Ł±Ł„ۡŁ…ُŁ„ۡŁƒُ Ų¹َŁ„َŁŠۡŁ†َŲ§ ŁˆَŁ†َŲ­ۡŁ†ُ Ų£َŲ­َŁ‚ُّ ŲØِŁ±Ł„ۡŁ…ُŁ„ۡŁƒِ Ł…ِŁ†ۡŁ‡ُ ŁˆَŁ„َŁ…ۡ ŁŠُŲ¤ۡŲŖَ Ų³َŲ¹َŲ©ٗ Ł…ِّŁ†َ Ł±Ł„ۡŁ…َŲ§Ł„ِۚ Ł‚َŲ§Ł„َ Ų„ِŁ†َّ Ł±Ł„Ł„َّŁ‡َ Ł±ŲµۡŲ·َŁَŁ‰ٰŁ‡ُ Ų¹َŁ„َŁŠۡŁƒُŁ…ۡ ŁˆَŲ²َŲ§ŲÆَŁ‡ُŪ„ ŲØَŲ³ۡŲ·َŲ©ٗ ŁِŁŠ Ł±Ł„ۡŲ¹ِŁ„ۡŁ…ِ ŁˆَŁ±Ł„ۡŲ¬ِŲ³ۡŁ…ِۖ ŁˆَŁ±Ł„Ł„َّŁ‡ُ ŁŠُŲ¤ۡŲŖِŁŠ Ł…ُŁ„ۡŁƒَŁ‡ُŪ„ Ł…َŁ† ŁŠَŲ“َŲ§ٓŲ”ُۚ ŁˆَŁ±Ł„Ł„َّŁ‡ُ ŁˆَٰŲ³ِŲ¹ٌ Ų¹َŁ„ِŁŠŁ…ٞ Ł¢Ł¤Ł§ Ų§Ł„ŲØŁ‚Ų±Ų©

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi Raja kamu". Mereka menjawab: "Bagaimana Talut memerintah kami padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?" (Nabi mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi Raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa. "Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 247)

Ayat ini menegaskan betapa Rasul yang membawa Islam tidak berjuang kerana mengejar jawatan tetapi berjuang untuk menegakkan Islam berkonsepkan mendahulukan pembangunan insan yang beriman, berilmu dan berakhlak, bukannya sekadar ekonomi sahaja atau melahirkan tokoh tanpa iman, ilmu dan akhlak.

Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah S.A.W apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya. Lantas Baginda S.A.W bersabda:

“Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya.”

Seterusnya Rasulullah S.A.W menerima mereka yang berbaiah dan setia menunaikan baiahnya bersama Islam yang diperjuangkan dengan istiqamah dan menunggu pertolongan Allah setelah memenuhi syarat-syarat yang diperintahnya.

Begitulah PAS boleh menerima dan bersama sesiapa sahaja termasuk DAP yang menerima Islam yang sempurna, aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem) serta menunggu kemenangan yang dijanjikan kepada Islam dengan berjuang memenuhi syarat-syaratnya juga.

Masalahnya, apabila Islam diberi kemenangan dan pengaruhnya yang adil dan rahmatnya akan dilihat dan dirasai secara nyata, bukannya seperti ideologi lain yang terus diuji tanpa menemui penyelesaian terhadap masalah manusia sejagat. Maka Islam dapat menguasai hati manusia dengan rela tanpa paksaan, bukan sekadar memerintah negaranya sahaja.

Persoalannya, mengapa Islam dihalang daripada kemenangan dan dijatuhkan setelah menang? Ini bukan kerana salah dan sesatnya, tetapi kerana dengki yang berterusan daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari alasan dan berbohong yang dicipta dan memutarbelitkan ajaran Islam sehingga dikelirukan.

PAS tetap berterus-terang dan beristiqamah bersama Islam tanpa sembunyi dan berdolak-dalih semata-mata untuk meraih simpati sokongan daripada semua pihak, kerana kini bukan zamannya untuk menipu masyarakat yang tidak mahu kepada Islam secara nyata yang wajib dinyatakan hujahnya dengan penuh hikmah.

Konsep PAS tidak memisahkan di antara dakwah dan politik supaya seramai-ramai manusia menerima Islam dengan ikrar dan keyakinan hatinya yang ikhlas, sehingga menganut Islam tanpa paksaan, atau tidak menganut Islam tetapi bersedia bernaung di bawah pemerintahan Islam yang lebih baik. Seterusnya menegakkan Islam menjadi pemerintah dan pemimpin secara terbuka.

Islam adalah agama yang mampu berhujah dengan semua pihak kalau dibuka peluangnya dengan adil dan mahu mencari kebenaran dan penyelesaian. Biarkan kalangan yang menegakkan benang basah berbasah kuyup bersama kesesatannya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG merupakan Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Marang

© all rights reserved
made with by templateszoo