Saya telah menerima laporan tentang Rumah Selangorku yang disewakan hanya beberapa tahun setelah dibeli.
Kerajaan Negeri memandang serius tindakan tersebut kerana Rumah Selangorku telah dijual dengan harga di bawah kos membinanya.
Contohnya Rumah Selangorku Jenis A dijual dengan harga RM42,000 sebuah tetapi kos membinanya adalah sehingga RM75,000.
Sementara Rumah Selangorku Jenis B yang dibina di Bandar Baru Bangi oleh PKNS dijual dengan harga RM99,000 sebuah tetapi dibina dengan kos sehingga RM194,000. Malah harga pasarannya adalah dianggarkan RM250,000.
Selain dari itu 142,057 pemohon telah mendaftar untuk membeli Rumah Selangorku.
Oleh yang demikian mereka yang membeli Rumah Selangorku dan menyewakannya untuk keuntungan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana telah menafikan hak orang lain untuk membelinya.
Sehubungan itu, saya telah memohon kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor untuk mengkaji tindakan-tindakan yang boleh diambil terhadap mereka seperti merampas rumah-rumah tersebut.
Sekiranya ini tidak dapat dilakukan maka nama-nama mereka yang terlibat mungkin akan disebar luas kepada umum.
Kerajaan Negeri amat teliti di dalam pemilihan pembeli-pembeli Rumah Selangorku. Hanya mereka yang layak akan dipilih.
Pemilihan adalah berdasarkan sistem merit. Di antara faktor-faktor yang diambil kira adalah umur, pendapatan bulanan, taraf perkahwinan, jenis kediaman sekarang dan jenis majikan.
Mereka yang mendapat markah tertinggi akan terlipilih.
Pemaju tidak boleh sesuka hati menjual Rumah Selangorku kepada sesiapa sahaja. Nama-nama pembeli adalah seperti yang disediakan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor ( LPHS ).
Juga tidak ada campurtangan politik di dalam pemilihan. Surat-surat sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik bukan satu keperluan.
Memandangkan perkembangan terkini ini, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan agar para pembeli Rumah Selangorku menandatangani perjanjian tambahan untuk memastikan rumah yang dibeli adalah untuk kegunaan sendiri.
Kerajaan Negeri pernah sebelum ini memaparkan nama-nama mereka yang ditawarkan Rumah Selangorku pada laman web LPHS. Ia adalah agar penawaran ini telus dan memberi peluang kepada mereka yang tidak berpuas hati untuk membuat bantahan.
Berikutan laporan terkini ini, saya akan berbincang dengan pihak LPHS tentang kemungkinan amalan ini dilaksanakan semula.
Kita sudah tentu tidak mahu amalan sebelum 2008 di mana rumah-rumah kos rendah diagihkan kepada pemimpin politik untuk dijual semula atau disewa berulang kembali.
YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan
Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
12 Disember 2017