KUALA LUMPUR: Pelancaran Makmal Kemanusiaan Rohingya 1.0 bukan platform untuk membawa masuk lebih ramai pelarian itu ke negara ini.
Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar sebaliknya menjelaskan, ia medan perbincangan penyelesaian kemelut warga tanpa negara itu yang berada di Malaysia.
Jelasnya, ia sekali gus membuka langkah proaktif selain kerjasama kerajaan dalam kerangka perundangan dalam penyelesaian isu berkenaan.
"Jadi dalam proses itu kita akan ada pembelaan terhadap kedudukan mereka.
"Kita dapati sekarang ini banyak fakta tidak benar, kita akan analisis fakta ini sama ada benar atau tidak benar.
"Kerajaan boleh adakan dasar dan ia akan membantu kita dalam kerja-kerja berkenaan seperti bantuan yang kita buat di Cox's Bazar, Bangladesh. Malaysia banyak buat tetapi ramai tidak puji kita," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Makmal Kemanusiaan 1.0 di sini hari ini.
Pelancaran disempurnakan Pengerusi ASEAN Rohingya Center Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Dalam pada itu kata Syed Hamid, makmal itu dibahagikan kepada beberapa kluster yang mempunyai kumpulan fokus tersendiri.
"Kluster itu adalah status dan dokumentasi, penghantaran dan penempatan, kesihatan, pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan, kekeluargaan, anti-ekstrimisme, kepimpinan dan belia, dana perubatan dan kecemasan wanita Rohingya," ujarnya.
Jelasnya, setiap kluster akan membincangkan penyataan masalah tentang sesuatu isu pokok dan mengeleluarkan cadangan program yang akan dijalankan.
Tambahnya ia termasuk projek penyelidikan, bantuan atau pembangunan modal insan dan pembangunan prasarana.
Sementara itu Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus memberitahu, cabaran paling besar untuk pelaksanaan makmal itu adalah sumber kewangan.
Katanya, buat masa ini, makmal berkenaan tidak mempunyai sebarang sumber kewangan yang tersendiri.