DR KAMARUL YUSOFF
MEMBACA kenyataan beberapa orang pemimpin tinggi Pakatan Harapan beberapa hari kebelakangan ini, ternyata mereka semakin mengakui peranan PAS dalam PRU 14.
Pengerusi PPBM yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam tulisan beliau bertajuk “Amanat Hadi” pada 7 Disember, umpamanya menutup tulisan beliau dengan menyebut “tindakan PAS bertanding (melalui blok ketiga) dalam PRU 14 akan mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan dan memberi kemenangan kepada Najib”.
Hari ini, Naib Presiden PKR, Tian Chua, di dalam wawancara yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insight bertajuk “Malaysia penuhi 3 syarat untuk BN tumbang, kata Tian Chua” (“3 conditions are aligned for BN to fall, says Tian Chua”), pula menyebut:
(1) “Pertandingan tiga penjuru mungkin membantu BN menang besar” (“three-cornered fights could possibly help BN win big”).
(2) “Jika ada banyak pertandingan tiga penjuru, ia akan beri BN menang besar” (“if there are many three-cornered fights, it'll be a huge win for BN”).
Peliknya, di dalam keadaan pemimpin tinggi Pakatan Harapan cukup sedar bahawa tanpa kerjasama PAS Pakatan Harapan tidak akan mampu untuk menang, malah akan kalah teruk pula (“BN menang besar” sama maksudnya dengan “PH kalah teruk”), mereka tidak pula kelihatan membuat usaha yang serius untuk mendekati PAS, malah menyerang PAS pula.
Peliknya lagi, di dalam keadaan Barisan Nasional diwarwarkan berpotensi untuk menang besar jika PAS tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru, pemimpin tinggi Barisan Nasional, termasuk di dalam Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung, tidak juga kelihatan membuat usaha yang serius untuk mendekati PAS.
Sangat menarik untuk melihat gerak-langkah pemimpin PAS selanjutnya tatkala kekuatan mereka semakin diakui. Adalah satu kesilapan besar jika hasrat PAS untuk menjadi “king-maker” dalam PRU 14 diperkecilkan oleh mana-mana pihak.