Kehadapan Tun,
1. Ramai sahabat saya yang menjadi pembaca blog Tun, telah menghubungi
saya untuk mendapatkan penjelasan mengenai penulisan terbaru Tun
berjudul "Dear Mr Johari" mengenai isu urus niaga pertukaran mata wang
asing. Pada mulanya saya memberitahu mereka bahawa saya sudah banyak
kali menjawab mengenai perkara ini dan saya tidak mahu memanjangkan
perbincangan mengenai isu ini terutamanya kerana sudah ada pasukan bebas
di PDRM menyiasat perkara ini. Perkara berkaitan tukaran asing ini
kadangkala terlalu teknikal untuk difahami orang awam terutama berkaitan
dengan peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pengurusan rizab
antarabangsa negara. Bagaimanapun, saya merasakan cara terbaik adalah
melalui perbincangan dengan meletakkan perkara itu dalam perspektif
mudah supaya dapat difahami.
2. Adalah sangat penting bagi orang ramai memahami perbezaan antara
aktiviti pertukaran mata wang spekulatif dan pengurusan pasaran
pertukaran asing yang teratur. Aktiviti pertukaran wang asing
spekulatif, dengan bahasa yang lebih mudah, adalah sejenis aktiviti
"perjudian" untuk mendapatkan pulangan yang cepat. Namun, pengurusan
pasaran pertukaran asing yang teratur sangat jauh berbeza yang mana
kemudahan mudah tunai oleh BNM kepada pelabur di negara ini untuk
mengurangkan ketidakseimbangan yang berkaitan dengan penawaran dan
permintaan ringgit di pasaran.
3. Untuk melihat perkara ini secara perspektif, ia boleh dilihat melalui
Laporan Audit Dalaman yang disediakan oleh Juruaudit Dalaman BNM
bertarikh 21 Januari 1994 yang mana Bahagian Operasi Pertukaran Asing
Jabatan Perbankan di BNM terbabit dalam aktiviti perdagangan tukaran
asing yang banyak sehingga pembelian matang dan urus niaga pertukaran
mata wang bulanan yang berjumlah purata RM140 bilion pada tahun 1992
telah meningkat kepada RM750 bilion pada tahun 1993! Sebahagian besar
urus niaga itu bersifat spekulatif dan tidak mencerminkan mandat BNM
untuk mengekalkan keadaan teratur dalam pasaran pertukaran asing
mengikut Seksyen 4 Ordinan Bank Negara Malaysia 1958.
4. Laporan Audit Dalaman itu juga menekankan bahawa magnitud urus niaga
spekulasi pertukaran asing dianggap sangat berlebihan memandangkan dana
pemegang saham BNM hanya RM4.4 bilion dan rizab antarabangsa negara itu
hanya RM43.98 bilion pada masa itu. Aktiviti spekulatif ini menyebabkan
BNM mengalami kerugian urus niaga pertukaran asing berjumlah RM31.5
bilion dalam tempoh itu.
5. Laporan Audit juga menyatakan bahawa aktiviti perdagangan pertukaran
mata wang asing spekulatif yang dijalankan oleh bank pusat pada masa itu
telah dilakukan oleh Bahagian Pertukaran Asing Jabatan Perbankan BNM,
yang diketuai oleh penasihat / pengurusnya, Encik (Tan Sri) Nor Mohamed
Yakcop, yang kemudiannya menjadi Menteri Kewangan Kedua.
6. Dengan skala kerugian aktiviti spekulasi pertukaran asing yang besar,
Kerajaan dipaksa untuk memindahkan sahamnya di Telekom dan Tenaga
Nasional Berhad kepada BNM pada nilai nominal RM1 sesaham dan
saham-saham ini telah dinilai semula oleh BNM pada RM22.10 setiap saham
dan RM19.30 sesaham untuk Telekom dan TNB. Di samping itu, BNM terpaksa
melupuskan saham Malaysia Airlines kepada pihak ketiga dengan harga RM8
sesaham dan saham MISC pada RM10 sesaham kepada Kumpulan Wang Pencen
untuk mendapatkan keuntungan. Jika kerugian pertukaran asing spekulatif
ini tidak nyata, Kerajaan tidak akan mengambil tindakan drastik ini
untuk menutup kerugian BNM pada masa itu.
7. Sejak episod kerugian yang dialami pada 1993, BNM dan negara telah
berjaya mengambil pelbagai langkah menambahbaikan , terutamanya dalam
melaksanakan pembaharuan serta langkah semak dan imbang yang perlu
berkaitan aktiviti urus niaga hadapan pertukaran mata wang asing. Hasil
daripada pembaharuan ini, walaupun berlaku ketidakstabilan aliran modal
dan ringgit dalam tempoh yang lalu, ekonomi kita terus kekal berdaya
tahan dan keupayaan BNM untuk menjaga kestabilan kewangan dan ekonomi
masih tidak dapat dikompromi. Malah, rizab antarabangsa terus kukuh dan
pada akhir November 2017 rizab berjumlah AS$101.9 bilion dan kerajaan
dapat mengekalkan 7.5 bulan import tertangguh. Saya rasa sudah cukup
untuk saya menjelaskan mengenai subjek ini dan jika ada pihak yang masih
tidak mahu menerima dan memahami kebenaran, maka tiada ada apa lagi
yang dapat saya katakan.
8. Saya berharap agar Tun sekeluarga terus berada dalam kesihatan yang
baik dan Selamat Tahun Baru saya ucapkan. Semoga Tahun Baru ini membawa
lebih banyak rahmat dan kemakmuran kepada kita semua rakyat Malaysia.
Yang Benar,
Johari Abdul Ghani
26/12/2017