Oleh: Muhammad Shamsul Abd Ghani
SHAH ALAM - PAS berpendapat topik kos sara hidup merupakan isu
'panas', khususnya apabila ia sangat membebankan kehidupan rakyat
sehinggakan pendapatan tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan hidup
seharian.
Ini menurut Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang, dalam situasi sekarang
kalaulah yang berpendapatan sederhana yang besar jumlahnya mengeluh,
apatah lagi kalangan berpendapatan rendah yang sangat besar juga
jumlahnya, penganggur dan golongan kurang upaya.
"Ia tidak mengira yang bergaji atau bekerja sendiri juga menghadapi
bebanan yang sama. Lebih malang kalangan penduduk bandar dan pinggir
bandar. Semakin besar bandar yang dinaik taraf khususnya apabila disebut
Bandar Raya, semakin berat bebanannya.
"Petani dan nelayan pula menghadapi peniaga dan penyangak yang juga
membebankan kos sara hidup bagi mendapat keperluan yang bukan kerjanya,"
katanya.
Katanya, tanpa mengira pelbagai sebab dan punca yang berlaku sehingga
meningkatnya kadar inflasi yang melibatkan apa sahaja barangan,
perkhidmatan, kejatuhan nilai mata wang, pengurusan, kuasa membeli dan
lain-lain atau melibatkan kerajaan, kalangan rakyat dan penggiat
ekonomi, semuanya wajib dilakukan muhasabah yang semestinya ditangani
oleh semua pihak supaya melakukan islah dan perubahan.
"Banyak pihak telah mengulas dan melakukan analisa, serta mengemukakan
pandangan yang lebih dipengaruhi oleh teori barat dalam aspek politik,
ekonomi dan kemasyarakatan yang memisahkan semuanya daripada agama yang
menegaskan kewajipan menghitung dosa dan pahala di sisi ALLAH.
"Dalam semua kegiatan manusia, seperti yang ditegaskan oleh ajaran
Islam, bahawa semua urusan cara hidup ada kaitan dengan agama," katanya.
Jelasnya, sebenarnya manusialah melakukan kesalahan dalam urus tadbir
kehidupan mereka, kerana menggunakan akal semata-mata tanpa moral yang
luhur apabila meninggalkan hidayah ALLAH, khususnya sifat mementingkan
diri sendiri tanpa mempedulikan masyarakat, sifat tamak haloba mengejar
keuntungan tanpa simpati terhadap pengguna.
"Sifat bakhil terhadap orang lain, sanggup boros dan membazir dalam
kalangan orang kaya kerana hidup bermewah-mewah tanpa peduli kesannya
terhadap golongan miskin. Semuanya memberi kesan negatif kepada ekonomi
berkeluarga dan bermasyarakat, khususnya apabila mengundang kos sara
hidup yang tidak saksama dengan pendapatan," katanya.