NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bahaya beriman dengan peti undi



oleh: Rajaluddin Ahmad


Gendang PRU-14 sekali lagi sudah dipalu Perdana Menteri apabila beliau  membuka gelanggang  bersama PAS Jumaat 22 Disember 2017 yang lalu di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya.

Perdana Menteri juga sudah mula temui parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Nun di sebelah sana, Pakatan Harapan (PH) juga sudah isytihar bahawa mereka sudah selesaikan agihan kerusi pertandingan kawasan Parlimen dan DUN “kecuali beberapa baki yang akan diumuktamadkan sedikit masa lagi” mengikut sumber pimpinan PH.

Dato’ Sri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN juga pernah dipetik sebagai berkata bahawa PRU-14 adalah “ibu segala pilihan raya Malaysia” yang pernah diadakan. Hampir semua pengkaji dan pemerhati politik tanah air menjangkakan kerjasama erat UMNO-PAS akan benar-benar berlaku kali ini. Oleh itu, ramai yang berpendapat PRU kali ini adalah benar-benar penentu sama ada:

(a) Rakyat memberikan peluang kepada PH yang diketuai DAP  mengambilalih pemerintahan daripada BN sejak 1955;  
(b) Peluang terakhir kepada BN memerintah dengan janji akan berubah buat sekian kalinya; ataupun
(c) Kerajaan campuran akan berlaku lagi.

Sejarah perjuangan bangsa Melayu-Islam menentang penjajah Portugis bermula seawal tahun 1511M lagi yang menjatuhkan Kerajaan Melayu-Islam Melaka yang telah dibina sejak tahun 1409M dengan pengIslaman Parameswara menjadi Raja Iskandar Shah. 

Orang-orang Melayu-Islam juga pernah bergabung menentang British  menerusi pelbagai parti dan pertubuhan kecil dan tersendiri.

Ada yang turut bergabung dengan parti-parti Indonesia termasuk Parti Komunis, malah pernah berhasrat untuk membina sebuah empayar besar “Melayu Raya” menggabungkan Malaya, Singapura, Brunei dengan “abang besarnya”, Indonesia. 

“Itu sama sekali tidak mustahil kerana kesemuanya mempunyai rumpun Melayu yang satu” – itulah hasrat, tekad dan azam ketika itu sebagaimana digambarkan dalam novel-novel sejarah Indonesia yang bertaburan.

Jepun datang menyerang dan mengambilalih pentadbiran selama hampir empat tahun bermula dari 8  Disember 1941 di Kota Baru, Kelantan dan berakhir di Beaufort, Borneo pada 17 September 1945.

Pengalaman pelbagai parti dan pertubuhan Melayu-Islam itu dilanjutkan sehinggalah orang-orang Melayu-Islam bergabung di bawah parti keramat Melayu bernama UMNO pada 11 Mei 1946 bagi menentang penubuhan Malayan Union pada 1 April tahun yang sama.


UMNO (71 tahun umurnya) dan PAS (66 tahun) adalah dua parti terbesar dan paling dominan dalam sejarah politik tanah air. 

Orang Melayu-Islam asalnya paling ramai menganggotai UMNO pada tahun 1946, tetapi berpecah apabila PAS ditubuhkan pada tahun 1951 di Butterworth, Pulau Pinang.

UMNO dan PAS pernah bersatu semula hasil rundingan Tun Abdul Razak Hussein dari UMNO dengan Dato’ Asri Muda selaku Yang DiPertua PAS ketika itu.

Oleh itu ramai mengharap kerjasama kedua di tangan DS Najib akan berlaku dalam PRU-14 sebagai mengulangi legenda ayahanda beliau.

Tidak salah dikatakan begitu banyak suara kini dilaungkan ke arah perpaduan UMNO-PAS seperti yang terdapat dalam pelbagai blog dan portal berita.

Kebimbangan dilontarkan kerana melihat kepentingan mengembalikan suara dan hak orang Melayu-Islam ditadbir oleh majoriti ahli politik Islam dalam sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk memimpin negara ke arah menjadi negara maju menjelang 2020.

Ia juga persediaan ke arah TN50 yang baru disemai untuk generasi anak muda meraih kecemerlangan menjelang tahun 2050.

Mampukah UMNO memujuk PAS untuk berunding dan bermusyawarah demi kepentingan ummah buat sekian kalinya?

Mahar yang dicagar amat berharga, iaitu  agama Islam itu sendirinya.

Ramai berpandangan sewajibnya kedua-dua pihak duduk memikirkan nasib agama dan survival bangsa seandainya bahtera pemerintahan sedia ada bertukar kepada kuasa DAP yang mengepalai PH.

Amat jelas battle ground terkini adalah di antara DAP + PKR + PBM + PAN yang mengetuai PH menentang  BN + PAS.

Tidak mustahil kerjasama itu akan berlaku semula demi mempertahankan kuasa Melayu-Islam dalam Parlimen. Sama ada ia berlaku sebelum, semasa atau selepas pilihanraya – ramai yang menduga percaturan akan berlaku selepas PRU-14 mengumumkan calon-calon yang berjaya!

Nada yang selari juga kedengaran di kalangan ramai penyokong PAS yang menjangkakan PAS akan memainkan peranan yang sangat crucial dalam pertandingan tiga penjuru yang bakal menyaksikan kewujudan “penentu” dalam sebuah pilihanraya umum.

Strategi politik ini boleh berlaku di hampir semua medan Parlimen ataupun DUN yang melibatkan BN lwn PD lwn PAS yang akan membawa beberapa impak dan implikasi yang sangat berkesan.

Namun ia memerlukan perancangan strategik dan persefahaman yang cukup mendalam. Pengkaji dan pemerhati politik menjangkakan situasi berikut boleh terjadi:-


(i) BN menang mudah di kawasan kuat BN sedia ada.
(ii) PAS menang mudah mengambil kesempatan terutama di kawasan AMANAH/PAN sedia ada.

(iii) BN boleh menang tipis di kawasan 50-50 yang dahulunya dimenangi PH dengan sokongan ahli PAS.

(iv) PAS boleh menang tipis di kawasan 50-50 yang dimenangi BN dahulunya dengan sokongan ahli UMNO dan BN yang lain.

(v) Kerjasama erat BN-PAS diperlukan untuk kalahkan calon PH dalam pertandingan tiga penjuru dalam sebanyak mungkin kawasan.

Jika persefahaman ini boleh dicapai, PRU-14 bakal membawa satu dimensi kerjasama politik baru dalam rangka strategi lautan biru 60 tahun selepas negara mecapai kemerdekaan.

Formula paling utuh dan berkesan untuk merealisasikan hasrat di atas ialah dengan pendukung dan pemimpin kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu betul-betul ikhlas berjuang untuk kemajuan ummah, mempertahankan prinsip kedaulatan Islam yang terangkum dalam perlembagaan.

Dalam kata-kata mudah: Berhentilah daripada beriman dengan peti undi! Kembalilah kepada al-Qur’an dan Sunnah dalam acuan aqidah murni Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perkukuhkan Maqasid Syariah dan dahulukan pendekatan wasatiyyah  untuk memberi rahmat kepada seluruh warga Malaysia – Muslim dan non-Muslim.

Islam pasti membawa rahmat kepada sekalian alam dan ini jaminan Allah SWT.

Islamlah yang sepatutnya menjadi modal utama UMNO dan PAS.

Islamlah yang sepatutnya menjadi bahan utama yang ditawarkan kepada pengundi PRU-14 dan bukannya yang lain.

Sudahkah UMNO bersedia dengan formula politik PAS dengan slogan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)”nya?

Barangkali ini kalilah masanya UMNO dan PAS mesti meretrospseksi ke dalam diri masing-masing dengan mengutamakan prinsip Islam daripada semata-mata demi ummah, demi rakyat berbilang kaum, demi agama dan bangsa. 

Jika Islam sudah diterima sebagai Agama Negara dalam Perlembagaan yang turut akan diperjuangkan oleh kedua-dua UMNO dan PAS, apa tunggu lagi?

Jangan tunggu lama-lama, nanti kuasa politik diambil mereka  yang tidak ingin mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan.

Malah tidak mustahil jika menang besar, mereka akan pinda perlembagaan sedia ada.

Walaupun berdegar pemimpin DAP berkata akan membiarkan orang Melayu-Islam sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang, logik akal pula akan berdalih: pastilah anggota parti yang terbanyak menang kerusi Parlimen akan menentukan siapa menjadi PM.

Logik akal juga berkata: 60 tahun jenuh menunggu dan kali ini menang pula, tidak mustahil bukan Melayu akan menerajui Malaysia – sebuah negara yang mempunyai majoriti warganya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Relakah anda jika bukan Islam tentukan amalan Islam anda?



© all rights reserved
made with by templateszoo