NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wartawan Malaysia dipenjara di Myanmar


PUTRAJAYA: Seorang wartawan Malaysia, Mok Choy Lin, 47, dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan di Myanmar.

Perkara itu disahkan Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Choy Lin disabitkan atas kesalahan di bawah Akta Aerodrome Myanmar 1934.

"Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah mengadakan lawatan konsular ke atas Choy Lin, di mana beliau dilaporkan berada dalam keadaan yang baik.

"Pihak Kedutaan juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa Myanmar, serta Kedutaan-Kedutaan Besar Singapura dan Turki di Myanmar, dalam memantau dan menghulurkan bantuan konsular ke atas warganegara berkaitan," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar juga turut menekankan keperluan rakyat negara ini untuk memahami dan memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang negara yang dilawati bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Memetik laporan Chanel News Asia, Choy Lin, dituduh cuba menggunakan dron untuk merekodkan imej video bangunan Hluttaw, atau Dewan Perwakilan, di ibu kota Myanmar tanpa izin.

Dia dituduh bersama tiga yang lain iaitu seorang jurukamera warga Singapura Lau Hon Meng, 43; penterjemah tempatan, Aung Naing Soe dan pemandu Hla Tin.

Keempat-empat mereka yang ditahan pada 27 Oktober lalu, sedang melakukan penggambaran dokumentari untuk Turkish Radio and Television Corporation.--Antarapos
© all rights reserved
made with by templateszoo