NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu yang diselubungi zikrullah zaman Sultan Zainal Abidin III


Sultan Zainal Abidin III (1881-1919) yang masyhur dengan kesolehan dan keilmuannya telah membawa Terengganu dalam satu era kemajuan rohani yang begitu tinggi. Baginda bukan sahaja seorang Sultan, malah baginda juga seorang ulama di mana baginda turut menjadi guru agama yang mengajar rakyat jelata. 

Sultan Zainal Abidin III telah mengaji banyak kitab-kitab agama dengan para ulama Terengganu terutama Tokku Paloh, Habib Umar dan Haji Wan Muhammad (anak Tok Syeikh Duyong).Maka tidak hairanlah jemaah menteri zaman pemerintahannya juga kebanyakannya adalah ulama. 

Di samping itu, Sultan Zainal Abidin III juga mengamalkan tarekat Naqsyabandiyah yang dipelajari dari Tokku Paloh. Di Terengganu, jarang dijumpai kanak-kanak yang sampai umur belum khatam Al-Quran dan jarang juga ditemui kanak-kanak yang tidak tahu membaca dan menulis Jawi. 

Gabungan pemerintahan Sultan dan para ulama yang soleh telah mewujudkan keamanan yang sejati. Tidak banyak kejadian jenayah yang berlaku di Terengganu. Pada ketika itu, jumlah penduduk Terengganu sekitar 154,073 orang. Namun terdapat lebih kurang 50 orang sahaja banduan penjara.

Disebabkan Terengganu dipimpin oleh Sultan dan ulama sufi, maka mereka telah mewujudkan majlis-majlis zikir sehingga Terengganu larut dalam suasana zikrullah. Hal ini diakui oleh Residen British di Pahang  yang bernama Hugh Clifford yang mana beliau menggambarkan keadaan dan suasana Islam yang kuat di Terengganu ketika zaman Sultan Zainal Abidin III. 

Hugh Clifford mengatakan bahawa ketika itu, Terengganu dipenuhi dengan alim ulama dan segala teriak tangis tenggelam dalam bunyi orang bersembahyang dan berzikir.

Hasanuddin Yusof ialah pengkaji sejarah dari Maktab Penyelidikan Taman Tamadun Islam Nusantara 
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi 
1Mediaonline


© all rights reserved
made with by templateszoo