SHAH ALAM – Armada Bersatu memberi jaminan akan memberi sepenuh kerjasama terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang akan membuat siasatan kerana didakwa tidak wujud.
Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, merujuk kepada kenyataan tersebut, ia boleh menyebakan Bersatu diharamkan.
“Kesediaan memberi kerjasama itu adalah disebabkan kami yakin Armada berada di pihak yang benar.
“To my brothers in Armada, ‘stay strong’. Kita kena berani kerana benar. Pihak di sebelah sana akan cuba sedaya upaya untuk melemahkan semangat perjuangan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan penggunaan rangkaian dedak sistematik, ke taktik-taktik kotor seperti melengahkan pendaftaran parti Harapan hingga kemungkinan parti atau sayap diharamkan.
“Perkara itu mungkin terjadi disebabkan Bersatu kini sudah dianggotai lebih 57 peratus dari golongan anak muda.
“Lagilah mereka gerun dan akan cuba sedaya upaya untuk mengertak kami. Lagi ditekan, lagi kami bangkit,” katanya.
Syed Saddiq berkata, pihaknya juga sudah menerima surat dari ROS berhubung perkara itu pada 7 November lalu.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kami sudah mengikut prosedur dan terus berhubungan dengan pihak ROS berkenaan isu pindaan perlembagaan dan prosedur yang berkait rapat dengan parti.
“ROS akan menyiasat berkenaan kes ini. Saya akan bantu sebaik yang mungkin dalam proses siasatan ini,” katanya.
Pendaftar Pertubuhan ROS, Surayati Ibrahim berkata pihaknya masih belum meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu yang ingin menggunakan istilah Armada bagi pemudanya.
“Tindakan menggunakan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.
"Kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan sesebuah pertubuhan dibatalkan, siasatan masih diteruskan bagi meneliti isu ini,"katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.