NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkembangan terkini fitnah 90 juta



PEMIMPIN PAS BUKAN MUSUH HARTA, ASALKAN JALANNYA HENDAKLAH SUCI DAN BERSIH!

Alhamdulillah atas segalanya. Saya membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas Clare Rewcastle-Brown (CRB) setebal 55 mukasurat yang tersebar dalam kes Saman Fitnah Isu RM90 juta oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke atas Editor Sarawak Report (SR) tersebut. Apa yang menarik ialah semakin banyak fitnah yang ditabur oleh CRB SR untuk mempertahankan fitnah terdahulu!

Saya tersenyum membaca perengggan 26.11 apabila Pimpinan-Pimpinan Tertinggi PAS disenaraikan mempunyai aset-aset mewah termasuk rumah, kereta dan motorsikal mewah yang kononnya dibeli hasil sebahagian dedak RM90juta dari Dato' Seri Najib Razak dan Umno yang difitnah telah diberi kepada PAS.

Antara fitnah yang paling lucu ialah tuduhan bahawa Ketua Pemuda PAS Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memiliki motorsikal mewah BMW! Saya kenali beliau secara rapat, beliau tiada motorsikal berkuasa tinggi tersebut! Sangat keji lagi memalukan bila kenyataan-kenyataan tuduhan tidak berasas cybertroopers berpenyakit hasad, dengki dan pembenci ulama' diangkat menjadi bukti pembelaan untuk dibawa ke mahkamah!

Malah jika benar sekalipun mereka yang dinamakan memiliki aset tersebut, sepanjang mengenali mereka, saya boleh katakan bahawa harta-harta tersebut mereka perolehi secara sah dengan sebahagian besarnya melalui kerjaya dan perniagaan yang mereka atau keluarga mereka usahakan.

Pemimpin PAS juga manusia yang berkehendakkan rumah yang selesa dan kenderaan yang baik untuk digunakan bagi melangsungkan perjuangan dan menjalani kehidupan. Pemimpin PAS juga punya keluarga - isteri yang dikasihi dan anak-anak yang disayangi yang ingin hidup bahagia dan mencapai impian seperti insan lain.

Bahkan bagi saya ia bukan satu kesalahan asalkan sahaja sumbernya dari hasil yang halal, di dalam batas kemampuan dan bersederhana. Jangan pandang rendah pada Pimpinan PAS meski diakui ramai yang saya kenali dalam kalangan mereka yang sangat merendah diri, tawadhuk dan tinggi pengorbanannya.

Dalam Saff AJK PAS Pusat dan Dewan-Dewan, kita ada ramai peguam, doktor, jurutera, akauntan, pensyarah, usahawan berjaya, mantan pensyarah, mantan guru, mantan eksekutif, mantan pegawai kerajaan dan bahkan sebahagian pasangan mereka juga mempunyai kerjaya lumayan. Mantan-mantan ini sebahagian besarnya kerana terpaksa meletak jawatan demi keterlibatan langsung dengan jamaah.

Mereka ini berganding bahu dan saling melengkapi bersama murobitun sepenuh masa yang bekerja bersama parti (murobitun inilah insan hebat yang tidak didendang), selain 'ulamak mulia yang siang malam menabur bakti mengajar demi memandaikan masyarakat. Sebahagian 'ulamak ini juga mengusahakan Pondok dan Pusat Tahfiz masing-masing liridhalLah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Lebih menghairan dan mencelarukan Dokumen Pembelaan & Dakwaan tersebut yang mengundang senyum saat membacanya ialah pada perenggan 26.7. PAS dituduh menganjurkan program-program besar seperti Muktamar, Himpunan PIHAK, Himpunan FASTAQIM, Himpunan HAMASAH, Himpunan Bantah TPPA, Himpunan RUU355, IJTIMA' Alami dan lain-lain dengan dibiayai menggunakan dana rahsia yang PAS terima dari Umno. Ini memang fitnah sangat jahat bagi yang mengenali secara dekat perjuangan dan gerak kerja PAS. Senyum, tak perlu kata apa-apa!

Sebagai salah seorang yang terlibat sedikit sebanyak dengan program-program mega ini, saya sahkan kenyataan-kenyataan ini adalah rekayasa bohong CRB SR. Sesungguhnya duit infaq ahli dan penyokong serta sumbangan orang ramailah yang membiayai program-program tersebut! Inilah perkara 'ajaib' yang mungkin sukar dimengerti apatah lagi dipercayai oleh Sarawak Report dan sekutunya. Inilah beza Parti Islam yang menyebut redha Allah menjadi matlamat dan syahid cita-cita tertinggi menjadi idaman ahli-ahlinya berbanding para pendokong parti sekular dan konvensional yang hanya mampu berprogram dan bergerak jika ada habuan wang ringgit!

Apapun, kami AJK PAS Pusat telah dinasihati untuk tidak mengulas lebih lanjut atas nasihat peguam Tuan Guru Presiden di London supaya tidak mengganggu proses mahkamah. In shaa Allah maklumat yang kita ada menunjukkan perkembangan sangat positif memihak kepada Tuan Guru sebagai plaintif dalam kes saman ini. Kita berdiri teguh di belakang Tuan Guru.

Berbalik kepada tajuk posting ini. Selepas membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas tersebut, saya tiba-tiba teringat lagu "Aku Bukan Musuh Harta" yang liriknya ditulis oleh Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan dinyanyikan oleh Kopratasa/ Algebra.

Lagu ini menjadi kontroversi pada tahun 2008. Lagu puisi "Aku Bukan Musuh Harta" ini telah diharamkan penyiarannya oleh RTM kerana liriknya yang dikatakan menyindir para sang penguasa. Berikut lirik lagu tersebut:

Mereka kata:
Mengapa kita tidak kaya raya?
Tengoklah si fulan itu, bermewahan saja..
Aku bertanya: apakah caranya untuk aku kaya?
Tapi secara mulia dan tanpa berdusta.

Bukan kita tidak tahu
Jalan, denai dan liku
Agar harta ditemu dan disapu
Tapi semuanya cara palsu dan tipu..

Bukan kita tidak mahu,
Tapi kita tidak mampu,
Takut dan terkedu,
Mengenangkan Yang Maha Satu,
Yang Tiada BagiNya sekutu..

Ya, telah kaya para pengkhianat,
Dengan harta yang sarat,
Tapi mereka lupa Akhirat,
Balasan yang berat,
Di dunia, jiwa bertukar menjadi keparat.

Ya, telah kaya para pendusta,
Syarat mereka : lupakan Yang Esa,
Harta rakyat semua disebat,
Harta awam semua dibekam,
Hukum syaitan, mereka bertuhan.

Kita pun ingin kaya,
Ada harta, ada kereta yang istimewa,
Ada rumah mewah yang melimpah,
Ada hidangan yang bukan sebarangan,
Ada duit yang bukan sedikit.

Tapi, jalannya hendaklah suci,
Bukan seperti seorang pencuri,
Jika ada jalan yang mulia,
Di hujungnya ada harta,
Tunjukkan kita, di mana saja.

Kita bukan musuh harta,
Kita cuma musuh pengkhianat bangsa dan negara,
Apatah lagi pengkhianat agama..

Suka juga dikongsikan petikan posting sebelum ini seperti berikut:

Ini rumah kami di Pujut, Miri. Rumah ini telah saya beli pada tahun 2010 dan kemudian diubahsuai dan dibesarkan, siap sepenuhnya pada tahun 2012. Rumah ini dikenali oleh sahabat-sahabat sebagai Rumah Hijau kerana warnanya luar dan dalam hijau. Pemiliknya juga berjiwa Hijau. šŸ˜ŠšŸ’š

Niat ubahsuai ialah agar rumah ini mampu menjadi pusat aktiviti jamaah @ markaz. Alhamdulillah, sudah banyak program-program parti sama ada aktiviti siasah, dakwah dan tarbiyah dibuat di rumah ini. Semasa Pilihanraya Negeri Sarawak, rumah ini juga dijadikan salah sebuah Bilik Gerakan PAS.

Mungkin juga saya perlu isytiharkan (agar tidak menjadi bahan fitnah cybertroopers di kemudian hari) bahawa saya mempunyai 3 buah kereta atas nama saya: Toyota Fortuner 4WD, Toyota Hilux 4WD dan Perodua Alza. Saya sebenarnya ada keinginan membeli kereta sedan, namun akhirnya membuat keputusan membeli kereta jenis pacuan 4 roda agar mudah digunakan oleh jamaah termasuk program-program dakwah di pedalaman. Toyota Hilux rasanya sudah pusing seantero Sarawak, manakala Toyota Fortuner tersebut dibawa masuk ke pedalaman melalui jalan balak tanah merah berbukit-bukau dan melalui alur sungai menuju Ulu Pakan hanya seminggu selepas dibeli!

Posting ini bukan posting untuk riak, nauzubillahi min dzalik. Posting ini posting untuk mengajak kita semua untuk menginfakkan diri dan mempergunakan harta kita semaksimanya untuk perjuangan Islam. Bagaimana seluruh apa yang kita ada dilaburkan untuk saham Akhirat kerana Allah.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah At-Taubah, ayat 41:

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan HARTA benda dan JIWA kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan! ✅šŸ‘šŸ’š

#MenujuRedhaALLAH
#UntukmuSarawak
#MaraMenujuCita
#BerAMALKeranaALLAH
#SejahteraBersamaIslam
#BeristiqamahHinggaKemenangan

FB: Muhtar Suhaili As-Sarawaki,
KL Sentral, 2 November 2017.

https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=550836625251670&id=100009760117468

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo