NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Sokong Tubuh Suruhanjaya Perumahan, Struktur Semula Industri Perumahan




Saya menyokong penuh cadangan penubuhan sebuah badan atau suruhanjaya perumahan bertujuan menyelaraskan semua institusi berkaitan perumahan di bawah satu bumbung seperti yang dilontarkan oleh Ketua Kluster Kejuruteraan dan Alam Bina Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Alias Abdullah beberapa hari lalu. [ Rujuk : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/349080/mpn-cadang-penubuhan-suruhanjaya-perumahan ]

Perkara ini juga telah saya suarakan pada November 2015 lagi dalam komentar saya terhadap Bajet 2016 khusus berkenaan isu perumahan. [ Rujuk : http://drtakiri.blogspot.my/2015/11/rumah-mampu-milik-kekang-harga-semak.html?m=1 ]

Saya menegaskan bahawa usaha untuk menyemak dan mengstrukturkan semula industri perumahan dalam negara kita melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkenaan, pemaju dan persatuan berkaitan serta aturcara dan caj guaman mesti dilakukan terutamanya bagi mengawal kenaikan harga rumah dalam pasaran dan memastikan bekalan mencukupi permintaan justeru menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi oleh golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Saya berharap agar cadangan ini dapat segera dilaksanakan oleh Kerajaan memandangkan harga purata rumah pada tahun lalu sudah pun mencecah RM387,258.00 seunit dan adalah dalam kategori ‘amat tidak mampu milik’.

Harga rumah pada paras ini sudah pasti tidak mampu dimiliki oleh kumpulan isi rumah B40 dan M40 kerana pendapatan purata kumpulan isi rumah ini hanya RM2,848.00 dan RM6,502.00 masing-masing.

Statistik juga menunjukkan dari 2012 hingga 2014, kadar kenaikan harga rumah (17.6%) lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan isi rumah (12.4%); ia sangat berbeza dengan
senario pada tahun 2007 hingga 2009 yang menunjukkan kadar kenaikan pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada kadar kenaikan harga rumah.

Melalui penubuhan suruhanjaya ini, struktur industri perumahan di negara ini dapat disusun semula menjadi lebih kemas sekaligus menutup ruang dan peluang mengaut keuntungan atas angin oleh pihak-pihak yang tertentu. Kerajaan mesti bertindak segera bagi menyelesaikan masalah dalam industri perumahan di negara ini sebelum ia menjadi bertambah rumit.

Sekian.

"Sejahtera Bersama Islam"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus


Sumber :http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/15-tanah-air/3878-pas-sokong-tubuh-suruhanjaya-perumahan
© all rights reserved
made with by templateszoo