NOTIS:
LHDN Nafi Hantar E-mel Amaun Pembayar Cukai Terlebih Bayar
Post Oleh :
One Media S
pada
11/07/2017 10:33:00 pm
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan menghantar e-mel meminta orang ramai mendedahkan butiran akaun bank bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dilakukan LHDN.
Bahagian Komunikasi LHDN berkata e-mel berkenaan cuba meyakinkan orang ramai bahawa mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dipulangkan oleh lembaga itu.
“LHDN tidak pernah menghantar e-mel sedemikian. Ini kerana maklumat akaun bank tersebut akan diperolehi melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.
Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDN ke akaun pembayar cukai.
Ia dibuat melalui pindahan dana elektronik (EFT), Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC), atau Cek Berpalang atau Pemindahan Bertelegraf bagi mereka yang berada di luar negara,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, LHDN telah mengesan sindiket itu menyebarkan e-mel palsu menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif dan anggota Lembaga LHDN serta memaparkan logo-logo rasmi institusi perbankan.
LHDN menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu ketulenan e-mel yang diperoleh kerana setiap e-mel rasmi daripada LHDN akan menggunakan domain e-mel ‘@hasil.gov.my’.
Selain itu, orang ramai boleh buat pengesahan dengan LHDN jika ada sebarang e-mel meragukan berkaitan LHDN melalui talian Hasil Careline di 1800-88-5436 atau nombor cawangan LHDN pada portal rasmi www.hasil.gov.my.
LHDN sentiasa memantau sindiket penipuan itu dan akan memberikan peringatan kepada orang ramai dari masa ke masa serta menasihati orang ramai yang telah terpedaya dengan sindiket penipuan itu agar membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan sewajarnya. – BERNAMA