ULASAN | Dalam ucapan beliau di Kongres Khas Kebangsaan DAP di IDCC Shah Alam, Selangor, pada 12 November 2017, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyalahkan musuh DAP kerana menggambarkan DAP sebagai parti orang Cina kononnya dengan tujuan untuk menakut-nakutkan orang Melayu dari menyokong DAP dan Pakatan Harapan.
Masalah dengan Lim Guan Eng dan pemimpin DAP lain ialah mereka cuba berbohong dengan mendakwa DAP bukan parti orang Cina tetapi adalah parti pelbagai kaum sedangkan hakikat membuktikan keputusan pemilihan semula CEC pada 12 November 2017 dibolot oleh orang Cina yang menjadi petanda bahawa DAP adalah parti orang Cina.
Bayangkanlah, 16 daripada 20 ahli CEC yang terpilih adalah orang Cina, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anthony Loke Siew Fook, Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Chong Chieng Jen, Teresa Kok Suh Sim, Tan Kok Wai, Tony Pua Kiam Wee, Nga Kor Ming, Fong Kui Lun, Chow Kon Yeow, Chong Eng, Datuk Teng Chang Khim, Ronnie Liew Tian Khiew dan Datuk Ngeh Koo Ham.
Sudahlah begitu, 7 daripada 10 orang ahli tambahan yang dilantik, berdasarkan peruntukan Perlembagaan DAP, bagi turut menganggotai CEC oleh 20 ahli CEC ini juga adalah orang Cina, iaitu Stephen Wong Tien Fatt, Thomas Su Keong Siong, Dr Ong Kian Ming, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh Tseow Suan, Yeo Bee Yin dan Khoo Poay Tiong.
Jadi tidak perlulah Lim Guan Eng dan pemimpin DAP lain menyalahkan pihak lain di atas wujudnya persepsi meluas bahawa DAP adalah parti orang Cina kerana tindak-tanduk DAP sendiri menunjukkan bahawa DAP adalah memang parti orang Cina yang tidak selesa untuk memberi ruang kepada orang Melayu berada pada kedudukan yang tinggi.
Lebih-lebih lagi, bagaimana Lim Guan Eng mahu menyalahkan pihak lain di atas wujudnya persepsi meluas bahawa DAP adalah parti orang Cina bila salah seorang ahli CEC yang baru dilantik, iaitu Yeo Bee Yin, selewat 7 Jun 2012, masih menulis kekurangan DAP adalah kerana ia adalah “a race-based party” yang “still made-up of mostly Chinese”.
Begitu juga dengan seorang lagi ahli CEC yang baru dilantik, iaitu Dr Ong Kian Ming, yang dengan beraninya mendedahkan pada 13 Januari 2016 mengenai dilema yang dihadapi oleh DAP bila ahli dan pemimpin DAP sendiri tidak senang dengan hasrat DAP untuk menarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadi ahlinya.
Jika hasrat DAP untuk menarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadi ahlinya pun sudah tidak disenangi oleh ahli dan pemimpin DAP sendiri, bayangkanlah tahap penolakan yang berlaku bila ada di antara orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak ini yang berani bertanding untuk menjadi pemimpin DAP.
Dan penolakan DAP ke atas orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang bertanding untuk menjadi pemimpin DAP terbukti di dalam keputusan pemilihan semula CEC pada 12 November 2017 ini yang memaksa seorang pemimpin terpaksa dilantik bagi mewakili kategori orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak.
Tetapi tidakkah perlantikan hanya seorang pemimpin (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji) bagi mewakili orang Melayu, selain seorang wakil Bumiputera Sabah (Jannie Lasimbang) dan Sarawak (Dr John Brian Anthony), merupakan satu ketidakadilan, malah mungkin satu penghinaan, memandangkan komposisi orang Melayu sebagai penduduk majoriti?
Siapa yang Lim Guan Eng mahu perbodohkan sebenarnya?
Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian 1Media Online