NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ABIM: Larang pekerja hotel bertudung amalan lapuk




“Bagaimanakah sesebuah hotel dibenarkan beroperasi dengan menggunakan SOP (prosedur operasi standard) yang bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan? Sejelas manakah Indeks Syariah yang diwar-warkan menjadi rujukan dan turut meliputi industri perhotelan di negara ini taktala wujud SOP untuk sesebuah hotel menghalang pekerja atau pelatih mengenakan tudung di kaunter khidmat pelanggan?” - Nor Azurah Kamarudin Sohami, AJK ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membidas larangan bertudung kepada wanita Islam yang bekerja di bahagian perkidmatan pelanggan (front line desk) hotel dan menyifatkan larangan itu sebagai menafikan kebebasan beragama serta bertentangan dengan Perlembagaan. 

“ABIM memandang berat kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkaitan dengan larangan berkait pemakaian tudung untuk wanita Islam yang ingin bekerja di front line desk hotel-hotel di Malaysia. 

“ABIM menilai kenyataan tersebut secara jelas menafikan hak kebebasan mengamalkan agama dan terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Naib Presiden (Helwa) ABIM Nor Azura Kamarudin Sohami dalam satu kenyataan media hari ini. 

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) sebelum ini mendakwa ada pekerja hotel yang mengadu berhubung pekerja wanita yang diarahkan menanggalkan tudung mereka. 

Bertentangan Perlembagaan 

Menurut Nor Azura, ABIM memandang serius sebarang isu diskriminasi wanita di tempat kerja terutama jika ia menggunakan alasan piawai dan polisi antarabangsa. 

“Bagaimanakah sesebuah hotel dibenarkan beroperasi dengan menggunakan SOP (prosedur operasi standard) yang bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan? 

“Sejelas manakah Indeks Syariah yang diwar-warkan menjadi rujukan dan turut meliputi industri perhotelan di negara ini taktala wujud SOP untuk sesebuah hotel menghalang pekerja atau pelatih mengenakan tudung di kaunter khidmat pelanggan?” katanya. 

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang kebebasan diri bahawa “(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang”. 

Nor Azura turut mempersoal sama ada pekerja atau pelatih wanita Muslim mempunyai tempat untuk menyatakan hak atau aduan. 

“Apakah ruang yang diberikan untuk para pekerja atau pelatih wanita Muslim untuk menyuarakan hak mereka secara rasmi? Apakah wujud penafian mahupun larangan untuk mereka menyuarakan aduan melalui saluran rasmi hatta melalui kesatuan mahupun NGO pekerja?” katanya. 

Sensitiviti agama 

Sehubungan itu, Nor Azura menggesa pihak-pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan rasminya berhubung dengan isu itu. 

“Masyarakat memerlukan rujukan mahupun makluman dasar rasmi berhubung isu ini memandangkan ia menyentuh sensitiviti beragama dan hak asasi manusia dalam industri yang cuba mengangkat imej negara di mata dunia. 

“Amalan bertudung bukanlah suatu amalan yang asing hatta di peringkat antarabangsa yang meraikan sumbangan para tokoh serta professional wanita Muslim dalam pelbagai lapangan. 

"Jangan sampai polemik ini menjejaskan nama baik negara serta industri pelancongan yang integral dengan perkembangan sejagat,” katanya dan menggesa pendokong hak asasi manusia dan wanita sama-sama memperjuang isu itu. 

Terdahulu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan hotel yang melaksanakan larangan itu dan berkata ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa. 

Presiden MAH Cheah Swee Hee bagaimanapun dilapor berkata setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing dan wanita yang bertudung masih boleh bekerja di hotel yang tidak mengamalkan dasar itu. 

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang dalam sidang media pula berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan larangan itu dan wanita Islam yang bekerja di hotel di Pulau Pinang tidak akan dihalang daripada memakai tudung. 






© all rights reserved
made with by templateszoo