Alhamdulillah 'ala kulli hal. Laporan MalaysiaKini dan beberapa agensi berita adalah dirujuk.
Kenyataan di Facebook saya yang berkaitan ditulis bagi menentang rasisme dan kenyataan perkauman yang dikeluarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi. Fokusnya di situ.
"Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macamana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."
Saya menulis sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Bugis. Cuba bayangkan jika perkataan 'Bugis' dalam Ucapan Tun M tersebut ditukar menjadi 'Cina', pasti gegak gempita DAP dan sekutunya.
Saya tidak membenci Tun M, saya juga tidak mempertahankan DS Najib, saya cuma tidak bersetuju dengan Kenyataan Perkauman yang dikeluarkan oleh Tun M sebagaimana saya juga tidak setuju dengan DS Zahid yang pernah menyentuh asal usul kaum Tun M.
Saya ada menyebut Akta Hasutan dalam tulisan FB tersebut. Sebagaimana kita sedia maklum, Akta Hasutan digunakan banyak kali semasa Zaman Tun M secara salah untuk menghukum musuh politik yang tidak sealiran dengan pemerintah, maka kita membantahnya.
Saya mengambil maklum tentang Usul Memansuhkan Akta Hasutan yang diluluskan Muktamar PAS pada tahun 2014. Ya, kita setuju ia dihapuskan dan diganti dengan Akta yang lebih harmoni dan sesuai pada masa kini. Sekurang-kurangnya ia perlu dipinda dan ditambahbaik supaya tidak disalahgunakan oleh pihak pemerintah dan pihak berkuasa.
Semua pihak yang mengeluarkan Kenyataan yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian bernegara wajar diadili dan dihukum secara benar dengan undang-undang sedia ada dengan syarat ia tidak disalahgunakan.
Kenyataan "sila balik Kerala", "sila balik Negara Besar China", "sila balik India", "sila balik Bugis" dan lain-lain semua kita tidak persetujui tanpa double standard. Say No To kleptocracy! Say No To Racism!
Wallahu a'lam bissawab.
FB: Muhtar Suhaili As-Sarawaki.