NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Daftar pemilih tidak cacat tanpa alamat




KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu daftar pemilih tidak dianggap sebagai cacat sungguhpun jika ia tidak mempunyai alamat 136,272 pengundi di Selangor.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh berkata, alamat yang hilang itu berlaku apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan langkah pemindahan maklumat pengundi berdaftar daripada sistem manual kepada sistem berkomputer pada 2002.

Langkah pemindahan maklumat pengundi itu disahkan Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Dalam penghujahannya, Amarjeet berkata pengundi tidak dibahagikan ke dalam lokaliti yang dinyatakan oleh SPR dan akibatnya, pengundi mengadu mereka berada dalam kawasan pilihan raya Parlimen yang salah.

“Kesilapan ini disebabkan kod kawasan pilihan raya parlimen yang salah diberi kepada mereka. Pengundi kemudian diletakkan semula ke dalam lokaliti yang betul selepas alamat mereka disemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Ia bukanlah keadaan yang berbangkit daripada pemindaan sempadan daerah mengundi,” katanya.

Amarjeet berkata demikian dalam pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh kerajaan Selangor untuk mencabar cadangan persempadan semula kawasan pilihan raya bagi Dun dan Parlimen di Selangor oleh SPR.

Amarjeet, mewakili SPR, pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan setiausaha, Datuk Abdul Ghani Salleh yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu, berkata asas pemohon adalah berdasarkan kepada andaian, bukan bukti nyata.

“Tiada keterangan yang menunjukkan SPR memindahkan dengan sewenang-wenangnya pengundi tanpa alamat ke lokaliti. Asas yang dibangkitkan oleh pemohon adalah tanpa merit,” katanya.

Beliau berkata cadangan yang dikemukakan itu tidak boleh diterima bagi semakan kehakiman dan forum yang sesuai bagi pemohon membangkitkan perkara itu adalah pada inkuiri tempatan.

Pada 19 Oktober tahun lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili kerajaan negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Dun dan Parlimen di Selangor oleh SPR.

Beliau memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula itu, berdasarkan kajian pada 2016 oleh SPR, adalah tidak berperlembagaan, tidak konsisten dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113(2) Jadual Tiga Belas Perlembagaan Persekutuan, adalah batal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pemilih terkini dalam persempadanan semula itu adalah tidak berperlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 3 Jadual Tiga Belas Perlembagaan, dan oleh itu, adalah batal dan tidak sah.

Mohamed Azmin turut meminta SPR memperbetul dan mengemas kini alamat 136,272 pengundi di Selangor, yang alamat mereka tiada dalam daftar pemilih itu.

Beliau memfailkan permohonan atas alasan SPR bertindak tidak mengikut perlembagaan, tidak munasabah dan tidak logik bertentangan dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendakwa SPR tersilap dan bertindak bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan serta secara tidak logik telah gagal untuk menggunakan daftar pemilik terkini seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Jadual Tiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Azmin turut memohon, antara lain, relif, perisytiharan bahawa notis yang diterbitkan kekurangan butiran, di mana pengundi biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri, tidak boleh melaksanakan hak mereka untuk melakukan representasi.

Pendengaran di hadapan hakim Azizul Azmi Adnan bersambung 24 Oktober. – Bernama
© all rights reserved
made with by templateszoo