ULASAN | Ketika berceramah di Bukit Merah, Perak Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sinis menyindir mereka yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai "sampah".
Mungkin di Malaysia hanya Dr Mahathir sahaja yang layak menggelar orang lain sampah kerana beliau beranggapan bahawa beliau adalah insan terpilih dan tidak pernah berbuat salah.
Sebaik berita itu tersebar di alam maya, saya telah dihubungi oleh beberapa bekas pejuang dan pemimpin BERSATU yang telah meninggalkan parti yang terkandas di stesen yang salah itu.
Sudah pasti mereka berasa terhina oleh kenyataan seorang yang dianggap negarawan itu.
Namun saya tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana pasti ketika seseorang itu mencecah usia 92 tahun, kewarasan bukanlah menjadi teman 24 jam sehari.
Banyak kali saya mendapati bahawa Dr Mahathir sudah mula lupa. Sebagai contohnya beliau mendapati sukar untuk menyebut nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan perlu dibantu oleh mereka di sekelilingnya.
Letak anak emas
Dr Mahathir juga selalu lupa beberapa perkara penting yang dibincangkan mengenai parti. Kenyataan beliau sentiasa berubah dan ini amat menyusahkan. Beiau juga kini amat mudah dipengaruhi.
Apa yang saya perhatikan ialah 'kekurangan' Dr Mahathir ini sudahpun dihidu oleh beberapa pihak yang sedia untuk menyambar peluang ketika beliau tidak lagi dapat membezakan antara kawan dan lawan.
Saya juga tidak pasti siapa atau apakah sebenarnya sampah di dalam BERSATU itu sendiri.
Benarkah yang keluar itu sampah, atau yang tinggal itu sampah?
Atau adakah perjuangan itu adalah sampah sebenarnya. Mana tidaknya, perjuangan sebenar BERSATU ialah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah mengikut perlembangaan dan ini banyak memecah belahkan bangsa.
Bukankah perjuangan BERSATU mempunyai muslihat meletakkan seorang 'anak emas' yang tidak mempunyai kebolehan di 'takhta impian' ketika matahari semakin hampir melabuhkan tirainya?
Atau adakah 'anak emas' itu sampah sebenar BERSATU? Ia hadiah daripada sang bapa yang menyedari bahawa anakanda tersayang tidak mempunyai kebolehan walau dihujani wang ringgit yang melimpah ruah ketika sang bapa berada di 'singgahsana' untuk sekian lama.
Ketika itu sang bapa sering mengatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana anaknya menjadi kaya raya. Namun sudah agak terlewat untuk bapanya bertanya dan mendapatkan jawapan kerana faktor usia dan kewarasan.
Melayu dan pelupa
Atau adakah Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu sampah sebenarnya kerana mengizinkan diri mereka diperkudakan individu tertentu untuk mencapai nafsu mereka?
Di mana perginya suara panglima-panglima BERSATU yang sering memainkan lagu kononnya pemimpin Umno dicucuk hidung? Mereka hanya berbangga dapat duduk semeja dengan bekas pemimpin-pemimpin negara yang kempunan dan tidak lebih daripada itu.
Atau adakah budak-budak di keliling presiden itu sampah sebenarnya kerana menjadi tukang atur dan tukang karut hingga menyebabkan parti ini condong menanti rebah untuk menghempap rumah rumah usang kampung Melayu?
Sedang bangunan parti yang dulu dianggap musuh tegar kini semakin berdiri gah dan benderanya berkibar paling tinggi kerana permusuhan sesama bangsa yang tiada penghujungnya?
Atau adakah presiden itu sampah sebenarnya kerana memegang jawatan tetapi tidak punya kuasa kerana takut dinyahkan oleh pemimpin senja?
Ternyata bekas pemimpin Melayu mudah lupa.
KAMARULAZMAN HABUBUR RAHMAN ialah bekas Setiausaha Kerja BERSATU.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/396120#gXGE2Iik8QYGAsdb.99