Matawang kurun ke 16, dan lukisan-lukisan sejarah kesultanan kerajaan Islam Arakan ini adalah petunjuk bahawa Arakan sejak kurun ke-14 (1345M), telah diperintah oleh kerajaan Islam sehingga kurun ke-18 (1784M). Islam diterima meluas di Arakan sejak kurun ke-9 (877M) sewaktu pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid.
Dikisahkan bumi Arakan pernah disinggahi sahabat Rasulullah yang tersohor iaitu Syaidina Saad Abi Waqas untuk berdakwah, dalam perjalanannya ke China.
Satu-satunya bangsa di dunia yang 100% menganut Islam adalah etnik Rohingya di Arakan. Kekalahan kepada penjajah Burma pada 1784M dan dijajah Inggeris pula pada 1824M membelahkan wilayah Islam Arakan ini kepada Burma pada 1948M, bahagian yang diserahkan kepada India kemudiannya menjadi Pakistan Timur pada 1947M dan menjadi sebahagian Bangladesh pada 1971M. Pelabuhan terbesar Bangladesh di Cittagong dahulu adalah sebahagian daripada Arakan.
Sebuah tugu Field Marshal William Joseph Slim (The Viscount Slim) yang bertugas dalam British Indian Army didirikan di Kota London, bertentangan dengan kediaman Perdana Menteri Britain di 10 Downing Street. Tugu ini dipahat wilayah-wilayah imperial di bawah kendalian beliau antaranya adalah Arakan, terpahat berasingan daripada Burma. Beliau pernah dilantik mengetuai 14th Army Burma (1943-45) dan kemudiannya Gavenor General Australia (1952-60).
Rohingya adalah penduduk asal Arakan, Islam adalah pegangan dan kerajaan yang mereka dirikan. Untuk memadamkan sejarah ini, semua media mutakhir ini di Burma tidak menggunakan Istilah 'Rohingya' malah kerajaan Burma memanggil mereka kaum Benggal. Nama Arakan di tukar kepada Rakhine State dan ibu negerinya Akyab dinamakan Sittwe.
Masjid-masjid yang berusia ratusan tahun dan premis perniagaan milik orang Islam dibakar, ditutup dan dirampas. Orang Islam tidak boleh berada di mana-mana bahagian bandar Akyab (Sittwe).
Siapa kata Muslim kaum bukan Rohingya tidak terancam di Myanmar?
Pada Mac 2013, di Maktila, Mandalay ( bahagian tengah Burma), 5 buah Masjid, kedai-kedai milik umat Islam dibakar dan lebih 20 muslim dibunuh (bakar hidup-hidup) . Mereka bukan dari bangsa Rohingya tetapi Muslim Burma. Ia disenyapkan.
Sejak 2005, Kerajaan Myanmar melarang membina masjid baru dan masjid sedia ada tidak boleh diperbesar atau dibaikpulih. Ia juga disenyapkan!
Adalah pelik dan buta sejarah apabila ada pihak mendakwa Rohingya adalah pendatang di Myanmar dan hanya mereka dizalimi tentera kerana mereka bukan warga Myanmar dan kerana berkelakuan buruk.
Sahabat saya di Yangon berketurunan Rohingya sebelah neneknya, dan datuknya berbangsa Rakhine yang memeluk Islam. Datuknya berkhidmat selama 40 tahun sebagai pegawai kerajaan Burma. Neneknya masih menerima pencen datuknya sebagai pesara kerajaan.
Dia terpaksa membuang semua identiti Rohingya untuk tinggal bebas di Yangon. Semua Rohingya yang berada di luar Arakan menanggalkan identiti Rohingya untuk hidup. Semua Muslim Burma tidak dibenarkan masuk atau keluar ke Arakan, kecuali dengan permit khas.
Saya dapat memerhatikan seorang muslim Burma yang beratur di hadapan saya, ketika mahu pulang ke Rakhine State, diperiksa seluruh badan, dan diselongkar bagasinya di Lapangan terbang Yangon dan setibanya di Akyab, walaupun dia memiliki permit khas.
Dia seorang sahaja dibuat begitu, lebih daripada pemeriksaan terhadap kami, warga asing. Saya bertanya kepada saudara Nasim yang menguruskan keberangkatan kami ke Arakan, dia memaklumkan kerana maulana itu muslim. Orang Islam sukar sekali mahu pergi atau keluar dari Arakan.
Sejak keluar dari Arakan pada 2007, Nasim tidak pernah pulang lagi ke bumi itu. Dia terpaksa merasuah pegawai Myanmar sekitar RM30,000 untuk membenarkan ibunya keluar dari Arakan untuk merawat sakit diabetis di Yangon tahun lalu.
Ada tiga pihak yang sedang membunuh, mengusir dan membakar kampung-kampung Muslim Rohingya. Junta tentera kerajaan, Arakan Army -sayap bersenjata parti politik etnik Rakhine dan sami buddha dari Gerakan 969 pimpinan Ashin Wirathu. Jika Rohingya adalah pendatang haram, kenapa urusan pandatang haram menjadi urusan Arakan Army dan Gerakan 969 Ashin Wirathu?
Ada pihak cuba menulis sejarah Rohingya seolah-olah Myanmar tidak pernah dikenali sebagai Burma, Arakan bukan nama asal Rakhine State. Bagaimana etnik yang mendiami Arakan sejak seribu tahun dikatakan berasal dari sebuah negara lain yang hanya wujud pada 1971?
Tuduhan-tuduhan pelik kepada Muslim Rohingya yang baru muncul di media internet adalah sejenis propaganda politik kerajaan Myanmar untuk menghalalkan kekejaman terhadap Muslim Rohingya. Setelah bertahun-tahun cuba memadamkan sejarah Islam di Arakan dan kaitannya dengan Muslim Rohingya, kini muncul pula usaha mewajarkan mereka diperlakukan persis haiwan perosak, dibunuh dan dihapuskan... Berwaspadalah!
Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
No comments
Post a Comment