NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Macau Scam – Penipuan Melalui Telefon




SIARAN MEDIA JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL POLIS DIRAJA MALAYSIA BUKIT AMAN 

Telefon : 03-26101222 Faks : 03-26101000  

Sejak kebelakangan ini, kes penipuan melalui panggilan telefon atau dikenali sebagai ‘Macau Scam’ telah kembali mendapat perhatian. 

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menerima banyak panggilan daripada orang ramai bagi mendapatkan pengesahan atau membuat pertanyaan berkenaan panggilan yang mereka terima. 

Berdasarkan rekod jabatan ini, daripada Januari hingga Ogos 2017, sejumlah 694 kes sebegini telah disiasat melibatkan kerugian RM 21.4 juta. 

Sehingga kini, pelbagai usaha dan operasi berterusan sedang dilaksanakan pihak Polis dalam usaha mengekang kegiatan penipuan ini. 

Berdasarkan aduan dan siasatan yang dijalankan, berikut adalah modus operandi yang sering digunakan pihak sindiket dalam cubaan untuk menipu orang ramai: 

i. Sindiket akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank/pegawai polis/pegawai mahkamah atau pegawai dari syarikat pengutip hutang. 

ii. Nombor telefon tertera di telefon mangsa biasanya adalah kepunyaan agensi/jabatan yang berkenaan. (Pihak sindiket mempunyai kaedah khas untuk memalsukan nombor telefon yang bakal tertera di telefon mangsa) 

iii. Mangsa akan dimaklumkan bahawa perbualan tersebut dirakam dan tidak membenarkan mereka untuk memaklumkan kepada orang lain. 


iv. Mangsa akan dimaklumkan bahawa mereka mempunyai hutang atau tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya dengan kadar segera. 

v. Mangsa akan diarahkan untuk membuat pembayaran/pemindahan wang dalam tempoh yang singkat. Contohnya dalam tempoh setengah jam. 

vi. Nombor akaun yang digunakan/diberikan oleh pihak sindiket biasanya adalah atas nama individu persendirian.

vii. Sekiranya bayaran tidak dibuat, mangsa diugut akan ditangkap oleh pihak polis atau akaun bank mereka akan disita oleh pihak berkuasa. 

Sebagai satu langkah pencegahan, orang ramai adalah diingatkan untuk berwaspada apabila mendapat panggilan sebegini. 

Jangan mudah mempercayai dakwaan yang dinyatakan oleh pemanggil dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat akaun bank dan sebagainya. 

Sekiranya khuatir dengan kesahihan dakwaan yang dinyatakan, serta merta tamatkan perbualan dengan pemanggil dan lakukan semakan terperinci dengan agensi yang berkaitan. 

Ingin juga diingatkan bahawa pihak bank sama sekali tidak akan meminta pengesahan nombor akaun, bertanyakan “challenge question”, mengarahkan penukaran nombor pin atau mengarahkan pelanggan untuk membuat pindahan wang melalui panggilan telefon. 

Malahan, mana-mana agensi kerajaan juga tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta sebarang bayaran samada cukai, saman, bayaran perkhidmatan atau pindahan wang dibuat ke dalam akaun persendirian. 

Diharapkan, modus operandi yang dan langkah pencegahan yang telah dinyatakan dapat dijadikan panduan kepada orang ramai untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan Macau Scam. 

CP DATO’ SRI ACRYL SANI BIN HAJI ABDULLAH SANI 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis DiRaja Malaysia 
15 September 2017 
© all rights reserved
made with by templateszoo