1. Himpunan FASTAQIM 2.0 di pantai Tok Jembal, Dun Seberang Takir, Parlimen Kuala Nerus pada 29 & 30 september 2017 merupakan himpunan terbesar ahli dan pimpinan PAS seluruh negara dengan sasaran 200k peserta diambang PRU ke 14. Tujuannya ialah sebagai pecutan akhir untuk menggembleng seluruh tenaga gerak kerja pilihanraya PAS bagi menuju kemenangan pada PRU ke 14.
2. Sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus, saya mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia ke Kuala Nerus. Moga himpunan ini bakal menyemarakkan kerja jihad dakwah dan politik Islam yang dipacu oleh PAS.
3. Rakyat Kuala Nerus khasnya dan Terengganu umumnya insyallah bakal menyambut kehadiran semua dengan sebaik-baik layanan sebagai tuan rumah buat tetamu mereka.
4. Saya juga mengalu-alukan semua peserta untuk turut menikmati pelbagai makanan tradisi dan popular terengganu seperti nasi dagang, nasi minyak, pulut sambal, laksa, laksam dan bihun sop yang boleh didapati di pelbagai kedai makan dan restoren di Kuala Nerus.
5. Keropok lekor dan keropok keping juga boleh didapati dengan mudah di seluruh parlimen, di sepanjang jalan dari jambatan Sultan Mahmud ke Lapangan Terbang bermula dari Bukit Tumboh, Banggul Pauh, Kg Alor Kuda, Bukit Tok Beng dan Kg Duyong. Juga boleh diperolehi di sekitar Stadium, kg Seberang Takir, Telaga Daeng, Teluk Ketapang, Tok Jembal, Mengabang Telipot dan Kg Padang Air. Rasailah kenikmatan keropok yang mengandungi isi ikan sehingga mencecah 95%.
6. Restoren ikan celup tepung, sotong celup tepung dan udang celup tepung boleh di dapati di sepanjang pantai Teluk Ketapang, Tok Jembal dan Mengabang Telipot dengan hidangan minuman air kelapa dan ABC disamping sate ikan, jagung bakar, goreng pisang dan lain-lain.
7. Kueh-mueh tradisi Terengganu juga boleh dinikmati dari pelbagai gerai tepi jalan seperti akok, batang buruk, rojak betik, rojak kateh, apam berkuah, pukat buruk, tepung talam, laksa berkuah putih dan berkuah merah, pulut panggang khususnya di Pasar Batu Enam.
8. Para peserta juga boleh meninjau pusat proses ikan kering, bilis dan belacan di hujung tanjung kg Seberang Takir dan menaiki bot penambang bagi menikmati perjalanan di Sg Terengganu menuju ke bandar Kuala Terengganu.
9. Kuala Nerus juga mempunyai beberapa hotel mewah, puluhan hotel bajet serta ratusan homestay dengan harga berpatutan untuk didiami oleh para peserta.
10. Semoga kehadiran para peserta semua meninggalkan kenangan manis persinggahan jihad dakwah dan politik di Kuala Nerus.
Wassalam.
Dato' Dr Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 28 september 2017
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1644453675573596&id=100000269374994